1.0 Artikel
daripada laman web yang dipilih
Bukan era dera murid
Oleh: Muhd Yusuf Abu Bakar dan Veena Rusli
KOTA KINABALU: Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengingatkan pendidik di seluruh negara, era guru bermaharajalela dengan bertindak sewenang-wenangnya termasuk mendera pelajar sudah lama berlalu.
Kementerian katanya, tidak pernah berkompromi dalam soal disiplin sama ada membabitkan guru atau pelajar. Tindakan sewajarnya tetap diambil terhadap pihak bersalah sekalipun harganya ialah kehilangan tenaga pendidik.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian 200 pelajar perempuan Tingkatan Satu hingga Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bawang Assan dekat Sibu, yang dihukum berendam di dalam kolam ikan yang kotor, selama satu jam, kerana kesalahan seorang daripada mereka membuang tuala wanita di dalam mangkuk tandas asrama perempuan sekolah itu, Rabu lalu.
Hishammuddin berkata, pendekatan memberi asuhan awal ketika golongan itu menjalani pengajian di institut pendidikan guru (IPG), dilihat sebagai senjata ampuh ke arah membentuk guru sandaran bangsa.
"Kita bukan sekadar memberi kemudahan infrastruktur tetapi turut menyuntik semangat supaya mereka menjadi guru yang boleh diharap kerana isu disiplin ada di mana-mana, tidak kiralah warden rendam murid, guru pukul murid atau murid pukul murid.
"Ini bukan masa menuding jari kerana kita mempunyai lebih 320,000 guru dan bukan semuanya baik macam malaikat.
"Kita akan ambil tindakan terhadap segelintir (yang mempunyai masalah disiplin) dan kalau mereka rasa boleh bermaharajalela, zaman itu dah berlalu," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Konvokesyen IPG Zon Sabah 2007 di Magellan Sutera di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang di Sibu itu, warden perempuan asrama sekolah itu mengarahkan pelajar berkenaan berendam sehingga ke paras leher di dalam kolam sebagai denda kerana kesalahan seorang daripada mereka yang enggan mengakui kesalahan membuang tuala wanita di dalam mangkuk tandas.
Pengerusi Persatuan Ibu bapa Guru (PIBG) sekolah itu, Jimmy Kiu yang kebetulan menyaksikan kejadian itu kesal dengan tindakan yang dianggap terlalu keras terhadap pelajar yang menghuni asrama sekolah berkenaan.
Katanya, warden sekolah itu bertindak demikian selepas mendapati tuala wanita ditinggalkan di dalam mangkuk tandas yang digunakan pelajar perempuan.
"Selepas disiasat, tiada pelajar mengaku membuang tuala wanita itu, menyebabkan warden itu mengarahkan semua pelajar itu berendam di dalam kolam walaupun ketika itu hujan dan kilat sabung-menyabung.
"Air kolam itu bertakung dan kotor, malah air dari kantin sekolah turut dialirkan ke kolam itu," katanya.
Jimmy berkata, selepas kejadian semua mangsa diberi amaran supaya tidak menghebohkan peristiwa berkenaan bagi mengelak dikenakan hukuman lebih berat.
"Akibat tindakan itu, ramai pelajar mengalami gatal-gatal dan demam, namum mereka tidak berani bersuara kerana takut," katanya kepada pemberita di sini, kelmarin.
Jimmy yang turut sempat merakam gambar kejadian itu berkata, dia mendedahkan perkara itu kerana tidak mahu pihak sekolah terus merahsiakan kejadian buruk berkenaan.
"Saya meminta Jabatan Pelajaran dan polis menyiasat kejadian itu," katanya, yang memaklumkan pelajar asrama itu dari kawasan yang jauh, terutama dari Sungai Pasin, Batang Lassa, Nanga Singat, Sungai Lengang, Sungai Belangan dan Tanjung Bekakap.
Jurucakap sekolah berkenaan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, pelajar sudah berkali-kali diberi amaran supaya tidak membuang tuala wanita ke dalam mangkuk tandas kerana ia menyebabkan tandas tersumbat.
Sementara itu, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri yang bertanggungjawab mengenai pendidikan, Datin Fatimah Abdullah mengarahkan Jabatan Pelajaran Sarawak melakukan siasatan segera mengenai kejadian berkenaan.
"Tidak wajar tindakan warden berkenaan dan siasatan menyeluruh perlu dilakukan kerana pihak sekolah sudah mempunyai garis panduan berhubung tindakan disiplin terhadap pelajarnya," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Bekas pengetua sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur itu, berkata, tindakan pelajar perempuan membuang tuala wanita ke dalam mangkuk tandas adalah salah namun hukuman kepada kesalahan itu tidak membolehkan mereka diarah berendam di dalam kolam ikan.
"Merendam pelajar ke dalam kolam yang kotor bukan peraturan dalam undang-undang disiplin sekolah berasrama.
"Hukuman itu boleh menyebabkan masalah kesihatan kepada pelajar kerana kolam itu kotor dan berlumpur," katanya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintendan Zamani Hamdan ketika dihubungi berkata, sehingga kini pihaknya masih belum menerima laporan mengenai kejadian berkenaan."
Sumber
artikel: http://ppdkerian.edu.my/portal/
Portal
Rasmi Pejabat Pelajaran Daerah Kerian
2.0 Ulasan artikel: Bukan era dera murid
2.1-Isu penderaan kanak- kanak
Berdasarkan artikel
yang telah dipilih, isu yang diketengahkan oleh penulis ialah ialah isu
penderaan yang berlaku dalam kalangan murid
di salah sebuah sekolah di Malaysia. Menurut Nor Shafrin Ahmad dalam
Khaidir Hj.Ismail, el.al (2008), isu penderaan telah lama wujud dan menjadi
masalah masyarakat di seluruh dunia. Di Amerika Syarikat, masalah penderaan dan
penganiyaan kanak- kanak mula dikesan pada tahun 1962 apabila Dr. Kempe
memperkenalkan “Sindrom Penderaan Kanak- kanak”. Menerusi laporan Henry Kempe
ini, masalah penderaan mula menjadi isu dan persoalan sehingga mendapat
perhatian beberapa pihak(Rosenfeld, 1982;Corby,2000).
Lima belas tahun kemudian,
iaitu pada tahun 1977, perhatian meluas tentang penderaan mula menjadi fokus
setelah ia berlaku secara melampau dan berleluasa. Menurut Farah (2004) dalam
Khaidir Hj.Ismail el.al (2008), di Malaysia, isu penderaan mula diberi
perhatian serius selepas kes penderaan fizikal seorang kanak- kanak bernama Balasundram.
Kanak- kanak ini dijumpai mati dengan kesan penderaan teruk pada awal tahun
1990-an. Kini masalah penderaan kanak-kanak didapati semakin meningkat dan
berlaku tanpa mengira sosio-ekonomi, agama, ideologi, umur dan jantina mangsa.
Isu penderaan yang dibincangkan mula mendapat perhatian ramai. Menurut Dora
(1988), dalam Khaidir Hj.Ismail el.al (2008), peningkatan bilangan kes
penderaan terhadap kanak- kanak khususnya golongan murid di sekolah pada setiap
tahun memberi kesedaran kepada ahli masyarakat dan golongan profesional bahawa
tindakan segera perlu diambil. Keadaan ini adalah kerana isu penderaan
memberikan gambaran kepada masalah sosial yang dihadapi oleh sesebuah negara. Implikasi
mangsa dera dan gangguan emosi serta tingkah laku pendera secara tidak langsung
menggambarkan negara kehilangan potensi individu maka sukarlah sesebuah negara
membangun dan menjadi sebuah negara maju.
2.1.1-
Jenis- jenis Penderaan
Menurut Khadijah&
Ann(2003), dalam Khaidir Hj.Ismail (2008), terdapat tiga kategori utama jenis
penderaan iaitu penderaan fizikal, penderaan seksual dan juga penderaan emosi.
Jenis penderaan yang pertama iaitu penderaan fizikal melibatkan perlakuan yang
dianggap salah dan berbahaya kepada kanak- kanak. Antara perlakuan ini ialah
kanak- kanak disepak, dipukul, dicubit, dikepit, dirantai, dikurung, diikat,
disimbah, cecair panas, dicucuh dengan api dan sebagainya. Khadijah & Ann
(2003) dalam Khaidir Hj.Ismail (2008), mendefinisikan penderaan fizikal sebagai
keganasan secara fizikal yang boleh
menyebabkan kecederan otak, lebam yang teruk, kecacatan anggota tubuh, retak,
patah tulang, lecur atau terbakar, dicucuh dengan punting rokok dan sebagainya.
Penderaan fizikal juga boleh membawa maut kepada dua kumpulan kanak- kanak
iaitu cacat sejak dilahirkan dan kanak- kanak cacat akibat daripada penderaan
tersebut.
Jenis
penderaan yang kedua ialah penderaan seksual kanak- kanak melibatkan individu
dewasa atau remaja sebagai pendera yang menggunakan kanak- kanak untuk kepuasan
seksual. Kanak- kanak didedahkan dengan aktiviti seksual yang tidak difahami ,
tidak sesuai dengan umur dan perkembangan emosi. Kadangkala kanak- kanak
dipaksa untuk melakukan aktiviti seksual atau melihat filem pornografi. Antara
maksud asas penderaan seksual yang dikemukakan Riley (1991) dalam Khaidir
Hj.Ismail el.al (2008),penderaan seksual diertikan sebagai ekshibiosionisme iaitu memperlihatkan organ genital, voyeurisme yang bermaksud mengintai
aktiviti seksual dan kanak- kanak yang berbogel,fellatio yang bermaksud rangsangan oral kepada zakar, liwat iaitu
penerobosan zakar melalui anal dan yang terakhir pederastry melibatkan pendera homoseksual dengan kanak- kanak.
Jenis penderaan
yang ketiga ialah penderaan emosi. Menurut Ramli (1990) dalam Khaidir Hj.Ramli(
2008), emosi merujuk kepada suasana perasaan yang menjadi pendorong utama dalam
menentukan fikiran, sikap dan tingkah laku seseorang individu. Umpamanya
perasaan riang, marah, bimbang, murung dan bersalah. Keadaan emosi yang
berpanjangan pula disebutkan sebagai ‘mood’ atau rasa hati. Menurut Khadijah
&Ann (2003), penderaan emosi merujuk kepada bentuk gangguan psikologi
terutama dari segi mental dan emosi. Penderaan emosi juga merujuk kepada
tingkah laku yang tidak memberi kasih sayang yang mencukupi atau membenci
kanak- kanak tersebut, tidak menghiraukan, tidak melayan kerenah, pergaulan
kanak-kanak disekat seperti tidak membenarkan mereka berkawan atau bermain
dengan rakan-rakan lain, sering dimarahi,ditengking,ditakut-takuti, dan ahli
keluarga lain bermusuhan atau memulaukan kanak-kanak terlibat.
Menurut Kasmini (1997) dalam Akta Kebajikan
Kanak-kanak di Kanada, penderaan emosi berlaku sekiranya terdapat gangguan
mental dan emosi dalam kalangan kanak- kanak di samping gangguan tingkah laku
seperti kemurungan, perasaan cemas,suka mengasingkan diri, mudah menjadi
agresif atau lambat perkembangan diri. Oleh
yang demikian, melalui artikel yang bertajuk “ Bukan Era Dera Murid” yang
mengetengahkan kes seorang guru merendam
200 pelajar wanita di kolam ikan separas leher pada waktu hujan, dapatlah
diklasifikasikan kes tersebut merupakan salah sebuah contoh kes penderaan jenis
fizikal dan juga emosi. Rentetan daripada kes yang melibatkan pelajar- pelajar asrama
perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Bawang Assan, Sibu, Sarawak ini,
ibu bapa para para pelajar yang terlibat membuat aduan bahawa terdapat pelajar
yang mengalami kegatalan pada kulit dan demam setelah menjalani ‘hukuman’
berendam dalam kolam ikan tersebut.
2.2-
Penderaan guru terhadap pelajar di sekolah
Berdasarkan artikel
yang telah dipilih melalui laman web rasmi kementerian iaitu Laman Web Portal
Rasmi Pejabat Pelajaran Daerah Kerian, isu yang telah pilih untuk proses
analisis dan ulasan ialah artikel yang bertajuk “Bukan Era Dera Murid” tulisan
Muhd Yusuf Abu Bakar dan Veena Rusli.
Isu pelanggaran etika keguruan yang dicerminkan melalui kes-kes
penderaan yang dilakukan oleh golongan penjawat awam yang bergelar guru
bukanlah suatu perkara yang asing pada masa kini. Isu penderaan dan penganiyaan terhadap murid
ini kian meruncing dan sering dipaparkan di laman media cetak dan elektronik
seperti akhbar, laman web portal rasmi dan juga weblog yang menjadi sumber
maklumat kepada masyarakat. sehingga menyebabkan kredibliti insan yang bergelar
guru pada hari ini dipandang rendah oleh segelintir masyarakat. Berdasarkan
artikel yang telah dipilih, satu kes penderaan terhadap pelajar yang berlaku di
Sekolah Menengah Kebangsaan Bawang Assan, Sibu, Sarawak pada bulan Julai tahun
2007 beberapa tahun yang lalu jelas memperlihatkan betapa golongan pendidik
yang wujud pada hari ini menunjukkan penurunan nilai akauntabiliti yang wajib
ada pada seseorang guru.
Kes yang dilaporkan
terjadi di negeri Sarawak ini melibatkan seorang guru yang merendam 200 pelajar
wanita di kolam ikan separas leher pada waktu hujan dan kilat berikutan seorang
daripada mereka enggan mengaku membuang tuala wanita ke dalam mangkuk tandas di
asrama. Kes berkenaan mendapat liputan dan perhatian yang luas daripada
pelbagai pihak termasuklah pihak Kementerian Pelajaran Malaysia yang amat
memandang serius akan isu penderaan terhadap murid yang dilakukan oleh
sebilangan guru. Dalam artikel berkenaan, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia
yang diwakili Menteri Kementerian Pelajaran Malaysia ketika itu iaitu Datuk Seri Hishammuddin
Hussein yang mengingatkan golongan pendidik tidak boleh sewenag- wenangnya
mendera murid dan menegaskan bahawa era mendera murid sudah lama berlalu. Ini
bertepatan dengan intipati artikel keluaran akhbar Utusan Malaysia bertajuk
“Merotan-guru dulu dan sekarang berbeza” yang menyatakan bahawa pada zaman dulu
tidak ada peraturan menghalang guru daripada merotan pelajar nakal. Malah ibu
bapa pada zaman tersebut, yang menghantar anaknya ke sekolah menyerah bulat-
bulat kepada guru untuk mendidik anak masing-masing. Senario ini jelas
mencerminkan betapa terdapatnya perbezaan tanggungjawab sebagai seorang guru
pada masa dahulu. Justeru, apa yang dapat dilihat di sini ialah keadaan pada
masa sekarang amat berbeza dengan apa yang dihadapi oleh guru pada zaman
dahulu. Setiap tindakan dan kelakuan guru diperhatikan masyarakat dan apa yang
paling dibimbangkan ialah tindakan yang bercorak emosi akan mengatasi kewarasan
dan rasional apabila guru mengenakan denda terhadap murid.
Berdasarkan artikel
bertajuk “Hentikan dera,raih penghormatan murid” keluaran majalah Pendidik,
terdapat banyak lagi berita kes-kes penderaan yang menunjukkan golongan guru
yang terdapat di sekolah- sekolah hari ini tidak bersikap profesional semasa
menjalankan tugas dan lebih menuruti tuntutan emosi semata-mata. Kes-kes penderaan terhadap
pelajar ini dapat dilihat berdasarkan kes-kes seperti di Kuala Nerang iaitu
seorang guru bertindak mengetuk kasut tumit di kepala tiga orang murid tahun
empat Sekolah Kebangsaan Padang Sanai, Kedah gara-gara murid-murid tersebut
dikatakan tidak membawa buku latihan Bahasa Inggeris. Kes lain yang melibatkan
isu penderaan ini turut dapat dilihat dalam kes yang melibatkan guru di Alor Setar
yang menendang, menumbuk kepala dan menghentakkan kepala seorang pelajar ke
papan hitam selepas berang kerana
pelajar tersebut bertanyakan resit bayaran yuran.
Berdasarkan artikel
akhbar Berita Harian yang bertajuk “Dilema guru tangani disiplin pelajar,” cara
guru dahulu menangani masalah disiplin pelajar di sekolah mereka dengan
menggunakan rotan, tetapi tindakan mereka itu tidak pula menjadi isu besar
sehingga mencetuskan perdebatan menerusi media. Menurut artikel ini lagi, masa
yang berubah turut menyebabkan penerimaan masyarakat juga turut berubah.
Justeru itu, nasib guru sekarang juga berbeza. Jika guru sekarang juga
menggunakan pendekatan berbentuk dendaan yang sama, mereka bukan saja boleh
dikenakan tindakan disiplin, alah tindakan mereka turut didedahkan kepada umum
dan malangnya guru seringkali dipersalahkan dan dipandang serong oleh
masyarakat. Dalam keadaan inilah, seseorang guru itu akan berada dalam dilema.
Jika mereka tidak bertegas dengan kes-kes disiplin yang melibatkan pelajar di sekolah,
golongan guru juga yang akan menjadi sasaran cemuhan masyarakat.
Namun begitu, dalam
konteks penderaan terhadap pelajar ini, tidak boleh dinafikan, sememangnya
terdapat segelintir guru yang mengambil tindakan melampau ke atas pelajar yang
melanggari peraturan sekolah atau melakukan kes salah laku di sekolah. Bagi kes
penderaan pelajar oleh guru yang bertindak merendam 200 pelajar di dalam kolam
ikan di sekolah, sememangnya wajar guru berkenaan disiasat dan dikenakan
tindakan tatatertib yang setimpal dengan tindakan guru tersebut yang menyalahi
tatasusila profesion keguruan di
Malaysia ini. Tatasusila Profesion Keguruan yang seharusnya menjadi panduan
kepada seseorang guru menggariskan bahawa seseorang guru itu mempunyai
tanggungjawab terhadap pelajar. Tanggungjawab guru terhadap pelajar termasuklah
mengutamakan kebajikan dan keselamatan pelajar daripada hal-hal lain. Dalam kes
yang dipaparkan dalam artikel berkenaan, jelas ia mempamerkan bahawa guru
berkenaan tidak bertanggungjawab terhadap para pelajar yang menjadi amanah
beliau yang turut bertugas sebagai warden di sekolah berkenaan.
Tanggungjawab
seseorang guru juga turut mencakupi aspek cara pertuturan, tingkah laku dan
sikap yang mampu memberikan contoh yang baik kepada pelajar. Melalui garis panduan
Tatasusila Profesion Keguruan yang telah dinyatakan ini, jelas sekali
menunjukkan guru tersebut tidak menjadikan etika tatasusila profesion keguruan
ini sebagai asas utama dalam mendidik para pelajar di sekolah. Walau apa
sekalipun masalah atau kes salah laku yang dilakukan oleh pelajar, guru
tersebut seharusnya berpegang teguh kepada prinsip dan etika sebagai seorang
guru yang harus bertanggungjawab terhadap para pelajarnya.
3.0 Pentadbiran Undang-Undang Dalam
Pendidikan
Melalui artikel yang
dikupas bertajuk “Bukan Era Dera Murid”, dapat dilihat bahawa guru yang
mengenakan dendaan yang lebih cenderung kepada
‘deraan’ terhadap pelajar tidak mempunyai pengetahuan yang kukuh dari
aspek pentadbiran undang- undang dalam pendidikan. Hal ini menurut Ismail
Othman (2006), berdasarkan kepada pengertian
Legal Literacy, para pendidik,
pengetua, guru besar dan pegawai perkhidmatan pendidikan yang lain sentiasa
terdedah kepada keadaan yang boleh menyebabkan mereka melanggar peraturan dan
undang-undang pendidikan. Hal ini ialah kerana ada dalam kalangan golongan
pendidik ini yang tidak faham atau tidak tahu tentang adanya peraturan dan
undang-undang dalam pendidikan. Situasi seperti inilah yang menyebabkan
kadang-kadang mereka terperangkap dengan arahan-arahan yang bertentangan dengan
undang-undang pendidikan. Keadaan seperi ini memberikan implikasi yang serius
terhadap cara pengurusan disiplin pihak pentadbiran dan juga guru di sekolah
yang berkenaan kerana wujudnya golongan pendidik seperti ini yang tidak peka
dengan peraturan-peraturan yang sedia ada sehingga mengambil tindakan yang
tidak sepatutnya dengan alasan memberikan hukuman atau dendaan terhadap pelajar
yang melakukan kesalahan.
Senario seperti
inilah yang menyebabkan banyak kes penderaan yang dilakukan oleh guru terhadap
pelajar sekolah atas alasan kononya guru memberikan dendaan atau hukuman untuk
‘mendidik’ pelajar. Laporan pelbagai kes yang melibatkan penderaan terhadap
para pelajar oleh guru-guru ini telah mengheret guru-guru ke mahkamah kerana proses
‘mendidik’ yang lebih cenderung kapada sikap berbentuk penderaan yang dilakukan
oleh guru terhadap para pelajar. Oleh yang demikian, seseorang guru yang
berkhidmat dalam arena pendidikan ini haruslah peka dan sentiasa mengambil tahu
perkembangan undang-undang dalam pendidikan yang terdapat di Malaysia ini.
Golongan pendidik hari ini harus sedar bahawa sekolah tempat mereka bekerja
merupakan lokasi atau tempat yang mempunyai pelajar yang terdiri daripada
pelajar yang datang daripada pelbagai ragam dan juga budaya. Ini mencetuskan
suasana sekolah yang penuh dengan tingkah laku manusia yang berbeza. Justeru
itu, tindakan atau keputusan yang diambil oleh guru atau pihak sekolah terutamanya
dalam aspek oengurusan disiplin pelajar haruslah bertepatan dengan buku panduan
dan surat- surat pekelililng ikhtisas yang dikeluarkan oleh Kementerian
Pendidikan.
3.1-Undang-undang Dalam Pendidikan
Bagi Pengurusan Disiplin Pelajar Oleh Guru
Menurut Mohd. Ismail
Othman (2006), pengurusan disiplin pelajar yang melibatkan kawalan disiplin
pelajar oleh pihak sekolah melibatkan tiga aspek tindakan yang berikut iaitu
penyediaan asas-asas kawalan tatatertib terutama sekali penentuan kesalahan
tatatertib,perlaksanaan proses tatatertib dan mengenakan hukuman tatatertib.
Menurut beliau lagi, system pengurusan disiplin yang baik haruslah berpandukan
kepada peraturan- peraturan yang ditetapkan oleh kementerian Pendidikan melalui
pekelililing- pekeliling ikhtisas yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.
Sebagai contoh, ‘Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.18/1998:Penggunaan Budi Bicara
Ketika Mengambil Tindakan’.
“Dalam menggunakan kuasa, budi bicara,
pertimbangan dan perhatian hendaklah diberikan kepada ketepatan membuat
keputusan, di samping bersikap terbuka, bersedia mendengar pandangan dan tidak
bersikap defensif. Perundingan hendaklah dilakukan dengan penuh hemah,
berdiplomasi dan dilakukan dalam suasana yang harmonis.”
Melalui kenyataan
pekeliling ini, ia jelas menggambarkan betapa proses memberikan dendaan dan
hukuman kepada pelajar bukanlah semudah yang disangka. Proses menentu dan
memberikan hukuman dimulakan dengan langkah pertama yang harus diambil oleh
seseorang pengetua ke atas seorang
pelajar yang melanggar disiplin sekolah adalah menerima aduan. Adalah menjadi
tanggungjawab pengetua untuk menerima aduan bagi memastikan kebenaran aduan itu samada kes itu
bersabit ataupun tidak.Jika ada maklumat yang bercanggah, pengetua perlu
membuat siasatan sehingga terdapat bukti yang cukup bagi menentukan kebenaran
tuduhan. Langkah yang seterusnya ialah pengetua perlulah mendapat kesimpulan
daripada bukti-bukti bagi menjawab kes yang bersabit. Sebelum menentukan
hukuman, peluang yang secukupnya hendaklah diberikan kepada pelajar supaya
pelajar dapat membela diri. Langkah seterusnya adalah pelajar perlu member
sebab jika pelajar tersebut menafikan kesalahannya.
Berdasarkan
langkah-langkah ini, pihak pengurusan disiplin sekolah yang melibatkan guru-
guru dan juga pengetua perlu melalui prosedur yang tertentu sebelum memeberikan
hukuman terhadap sesuatu kesalahan yang dilakukan oleh pelajar. Justeru itu,
pihak sekolah dan juga guru tidak boleh sewenang-wenangnya mengenakan hukuman
dan denda kepada pelajar. Sebagai contoh, dendaan merotan semasa perhimpunan
atau Public Canning boleh dilaksanakan
berdasarkan kepada peruntukan dalam Ordinan Pelajaran 1957, Peraturan-Peraturan
Pelajaran (Disiplin) 1959 yang menjelaskan kuasa guru besar berkenaan merotan
berbunyi:
“Bagi
maksud menjaga disiplin di kalangan murid-murid, guru besar
Hendaklah
mempunyai kuasa menjalankan hukuman-hukuman sekolah yang biasa sebagaimana
perlu atau bermanfaat”
Perlaksanaan dendaan rotan ini boleh dilaksanakan dengan
syarat bahawa;
a. hukuman
dera kepada murid-murid perempuan adalah dilarang; dan
b. hukuman
dera kepada murid-murid lelaki oleh seseorang guru atau lain-lain kakitangan
sekolah adalah dihadkan kepada merotan dengan rotanyang ringan ditapak tangan
ataupun di punggung yang berlapik dengan pakaian dan hendaklah dijalankan hanya
oleh guru besar dengan kuasa nyata yang diberi olehnya dalam hal yang tertentu.
Peraturan tersebut
juga ada menyatakan bahawa pihak sekolah tidak boleh menggunakan perhimpunan
itu sebagai tempat untuk menjalankan hukuman kepada murid-murid mencaci,
menghasut atau mengambil sebarang tindakan yang boleh memalukan seseorang murid
atau lain-lain pihak. Melalui peraturan
ini jelaslah bahawa seseorang guru yang bertugas di sekolah tidak boleh
mengenakan dendaan atau hukuman yang bersifat deraan kepada pelajar kerana ia
sememangnya sudah termaktub dalam Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin)
1959. Dalam kes yang dikupas berkaitan guru yang merendam 200 pelajar di dalam
kolam ikan ini, ia jelas menunjukkan tindakan tersebut melanggar peraturan-peraturan seperti yang telah
dinyatakan.
Isu yang dilihat cuba
dikupas oleh penulis artikel ini ialah isu pelanggaran Etika dan juga
Tatasusila Profesion Keguruan itu sendiri melalui pandangan pelbagai individu di
Kementerian Pelajaran Malaysia yang memandang tindakan guru tersebut sebagai tidak
wajar dan bukanlah satu tindakan yang menepati etika keguruan. Menurut Mok Soon
Sang (1995), etika ialah suatu sistem dasar akhlak dan tingkah laku bagi
sesuatu kumpulan manusia atau organisasi. Sistem dasar ini meliputi aspek-aspek
morak yang baik dan yang buruk, serta yang betul dan yang salah.
Artikel yang
dianalisis juga menjelaskan isi tersirat yang terkandung di dalamnya bahawa sikap
profesional seharusnya ada pada seseorang guru sewaktu menjalankan tugas. Ini
bertepatan dengan pernyataan Syed Ismail Bin Syed Mustafa & Ahmad Subki Bin
Miskon (2010), seseorang guru yang profesional haruslah membuat keputusan dan
tindakan yang tepat dan tidak mengikut kehendak emosi semata-mata. Guru yang profesional
juga perlu memiliki rasa malu dan rasa takut. Hal ini bermaksud, seseorang guru
perlu berasa malu iaitu malu untuk melakukan perbuatan yang salah. Sementara
itu, rasa takut pula adalah takut akibat daripada perbuatan salah yang kita
lakukan. Dengan memiliki kedua-dua sifat ini, perbuatan dan sikap seseorang
insan yang bergelar guru akan lebih mudah dikendalikan dan dipertimbangkan
kesan buruk baik akibat daripada perbuatan tersebut.
4.0 Kesimpulan
Menurut
Syed Ismail Bin Syed Mustafa&Ahmad Subki Bin Miskon (2010), akauntabiliti
bermaksud sesuatu kerja, tugas, janji dan lain- lain yang mesti dilaksanakan
dengan penuh tanggungjawab. Seseorang penjawat awam yang telah dilantik dan
diberikan tanggungjawab dalam melakukan sesuatu tugas hendaklah menjalankan
tugas tersebut dengan amanah. Justeru itu, dalam konteks isu penderaan yang
semakin berleluasa dalam arena pendidikan di sekolah ini, guru yang diberikan
tugas mendidik hendaklah melaksanakan tugas sebagai pemegang amanah mendidik
rakyat Malaysia dengan cemerlang dan bertanggungjawab. Menurut Ishak Saat
(2009),martabat profesion keguruan boleh didefinisikan sebagai darjat atau
pangkat dalam bidang pekerjaan yang memerlukan pendidikan, kecekapan dan
kemahiran yang tinggi dalam hal berkaitan tugas dan tanggungjawab guru. Justeru
itu, peranan dan tugas sebagai guru hendaklah dijalankan dengan profesional dan
pada masa yang sama mengangkat martabat profesion keguruan itu sendiri.
Menurut beliau lagi guru yang berkualiti dalam
bidang keguruan ini juga mempunyai kualiti yang tinggi dari aspek kerohanian.
Guru yang berkaualiti kerohaniannya memiliki sifat-sifat berikut, memiliki
sahsiah atau tingkah laku yang baik dan terpuji. Antara ciri-ciri seorang guru
yang bersahsiah dan terpuji ialah menjalankan tugas dengan tepat, menghormati
rakan guru dan juga para pelajar. Kesimpulannya, nilai tara sahsiah atau
tingkah laku yang baik ini terkandung dalam Etika dan Tatasusila Profesion
Keguruan yang seharusnya menjadi pedoman dan asas kepada guru mengatur langkah
dan arah sebagai guru dalam bidang pendidikan ini. Peranan dan tugas sebagai
seorang guru perlu dihayati dan difahami dengan baik oleh insan yang bergelar
guru dalam erti kata yang sebenar. Seorang individu yang bergelar guru haruslah
membuat keputusan yang tepat, berasas dan tidak melakukan tindakan secara
membuta tuli terutamanya apabila melibatkan pelajar dan juga pihak sekolah.
No comments:
Post a Comment