Monday, September 3, 2012

Bebanan Kerja Guru Ulasan Oleh Nur Hakimah Bt Roslan


1.0       Artikel

2.0       Pengenalan
Tekanan merupakan satu penyakit yang sering dikaitkan dengan kesihatan mental dan kerap menyerang masyarakat pada hari ini. Kehidupan manusia pada alaf ini amat mencabar dan kompleks. Kepelbagaian dan kekompleksian kehidupan ini menyebabkan munculnya “Sindrom Baru” yang menyerang manusia iaitu tekanan atau lebih dikenali sebagai “stres”.Menurut Hatta Sidi dan Mohamed Hatta Shaharom (2002) stres merupakan sebahagian daripada kehidupan manusia sejak dahulu lagi tanpa disedari. Ia berubah wajah mengikut peredaran masa,Stres bukanlah suatu perkara yang asing bagi masyarakat negara ini. Stres biasanya dialami oleh semua manusia apabila berada dalam keadaan yang tidak menyeronokkan.
Profesion keguruan merupakan satu bentuk perkhidmatan sosial yang sungguh mencabar. Tenaga pengajar dan pengurus pendidikan seharusnya peka dengan perkembangan terkini dalam proses kepemimpinan, pengurusan, pengelolaan sumber, dan pencapaian matlamat pendidikan (Ibrahim Ahmad Bajunid, 1995). Justeru itu, dengan pelaksanaan pelbagai reformasi dalam pendidikan sudah pasti menjadikan peranan dan tanggungjawab guru menjadi lebih mencabar. Di Malaysia, fenomena stres di kalangan guru kini sedang hebat diperbincangkan dan dijadikan sebagai bahan kajian ilmiah. Malahan, kajian-kajian yang lepas juga mendapati bahawa profesion perguruan adalah bidang kerjaya yang menghadapi stres kerja yang tinggi (Cooper 1995, Hart et al.,1995) dalam Mokhtar (1998).
Menurut  Sapora Sipon (2007), menyatakan bahawa guru yang gagal mengawal diri akibat stres akan memberi kesan kepada perhubungan guru dengan pelajar dan juga mutu pengajaran dan pembelajaran. Perkara ini seterusnya boleh menjejaskan kualiti pendidikan dan juga profesion perguruan yang seterusnya akan membantutkan usaha mewujudkan sebuah masyarakat yang mampu membawa Malaysia ke tahap kecemerlangan dan  kegemilangan mutu pendidikannya. Tekanan kerja pada tahap yang tinggi juga akan membawa kepada  ketidakpuasan dalam membuat kerja dan akhirnya sikap suka mengelak dan mengabaikan kerja akan terhasil. Tindakbalas penyesuaian tekanan oleh guru merangkumi tindakbalas psikologikal (keletihan dan kemurungan), fisiologikal (sakit kepala dan tekanan darah tinggi) dan berkaitan sikap (pengambilan alkohol, merokok, gaya hidup dan masalah tidur).
Akibat suasana kerja yang teruk akan menyumbang kepada faktor tekanan dan seterusnya membawakepada ketidakpuasan kerja serta keinginan untuk meninggalkan profesion keguruan. Kyriacou & Sutcliffe (1978), menyatakan bahawa tekanan guru adalah berpunca dari aspek kerja mereka yang akhirnya menganggu emosi.  Gangguan emosi ini akhirnya menimbulkan rasa marah, perasaan tidak selesa, kebimbangan, tekanan serta kekecewaan yang tinggi.  Dalam hal ini , guru yang menghadapi tekanan adalah guru yang tidak dapat mengawal emosi mereka terhadap perubahan budaya pendidikan yang bukan sahaja untuk memberi ilmu pengetahuan tetapi perlu mendidik manusia agar menjadi manusia yang berguna. 
Oleh itu, bagi mewujudkan satu pengajaran dan pembelajaran yang berkesan guru-guru terpaksa melakukan kerja lebih masa bagi menyediakan alat bantu mengajar, menghadiri kursus dan bengkel sepanjang minggu bagi membuat penyesuaian terhadap kaedah pengajaran yang baru.  Pada masa yang sama pula guru perlu melakukan kerja-kerja pengkeranian dan ini telah meningkatkan tekanan di kalangan guru di sekolah. Terdapat pelbagai tanggapan dan dakwaan berhubung dengan kerjaya guru pada masa kini. Sesetengah ahli masyarakat mempunyai tanggapan bahawa kerja, beban dan tugas guru sekarang tidak mewujudkan kerjaya guru yang menarik.  Abdul Shukor (1986), melihat sekolah sebagai sebuah organisasi yang dihujani dengan pelbagai bebanan tugas dan ada kalanya tugas ini bukan satu yang terancang tetapi muncul dari situasi yang tidak diduga.
Jika suasana ini dibiarkan berterusan agak pasti suasana pengajaran dan pembelajaran akan menghadapi kegagalan dan matlamat tidak akan tercapai. Individu tidak akan dapat berfungsi dengan berkesan jika dia berada dalam keadaan tertekan (Smith, 1993; Girdano et al., 1993). Perasaan tertekan menjadikan seseorang itu tidak rasional, cemas, tegang, tidak dapat memusatkan perhatian kepada kerja dan gagal menikmati rasa gembira atau puas hati terhadap kerja yang dilakukan.  Guru-guru juga dikatakan berfikir dan mengambil keputusan untuk bersara sebelum tiba masanya kerana mengalami masalah tertekan, berang dan murung (Fejgin et al., 1995; Pastore dan Judd, 1992).
 Menurut laporan Marzita Abdullah (2003),Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) telah menggesa Kementerian Pelajaran agar menempatkan seorang kaunselor di setiap daerah di Negara ini dengan secepat mungkin.  Ini bertujuan bagi memastikan setiap kaunselor dapat meneliti masalah-masalah yang sering dihadapi oleh guru-guru terutama tekanan kerja. Dalam laporan tersebut, Presidennya Tengku Habsah TengkuPetsa bimbang guru-guru terbabit dengan tekanan kerja akan menghadapi tekanan yang lebihbesar seperti masalah mental. Menurut beliau, pihaknya sering menerima aduan daripadaguru-guru yang menghadapi tekanan kerja dan mengadu tidak tahan dengan bebanan kerjapersekitaran kerja, masalah kewangan dan keluarga.
3.0       Ulasan Artikel
Guru juga dibebankan dengan kerja pekeranian dan aktiviti kokurikulum, jejas tumpuan mereka bilik darjah menurut Mohd Puad Zarkashi Timbalan Menteri Pelajaran. Petikan kata-kata Timbalan Menteri Pelajaran ini menunjukan bahawa status guru bukan hanya disandang kerana terbabit dengan kerjaya berkenaan manakala secara khususnya, mereka masih seperti anggota masyarakat lain yang berdepan dengan tekanan dan cabaran.Apabila masyarakat menggunakan status guru dalam membuat penilaian, secara tidak langsung membabitkan keseluruhan golongan berkenaan. Dengan kata lain, kalau seorang bermasalah, semuanya seolah-olah melakukan kesalahan serupa dan patut dihukum.Sedangkan yang bermasalah hanya seorang dua.
Hakikatnya, mereka tetap sama seperti orang lain yang melaksanakan tugasan dan tanggungjawab dengan cabaran masing-masing. Kebelakangan ini imej guru serta sistem pendidikan negara bagaikan tercalar teruk dengan pelbagai insiden luar jangkaan menjadikan masyarakat mula menilai dan memperkatakan profesionalisme golongan guru di Malaysia ini. Jika dulu guru hanya menggunakan pendekatan rotan bagi tujuan mendidik, kini ada pula berani menggunakan kekerasan fizikal atas alasan sama. Malangnya kekerasan itu berakhir pula dengan tragedi. Beliau berkata masyarakat boleh menyalahkan guru yang bersalah, namun perlu adil membuat penelitian terperinci sebelum menjatuhkan andaian. Selain itu ada juga  guru yang berdepan dengan tekanan persekitaran luar biasa yang menjadi punca tindakan luar kewarasan, ditambah bebanan kerja serta sikap pelajar yang bermasalah.
Dunia pendidikan hari ini tidak sama seperti dulu. Cabaran keterlaluan bukan saja persekitaran tapi sikap segelintir masyarakat yang bongkak serta lepas tangan menjadikan guru seperti ditindas. Masyarakat tidak boleh memaksa untuk memenuhi kehendak mereka secara total, kesudahannya apabila sentiasa ditekan dan tertekan, mereka boleh hilang pertimbangan. Apabila timbul isu membabitkan guru, masyarakat pula memberikan hukuman dan komen negatif sedangkan kebenaran masih belum terbukti. Ini menambah lagi beban guru yang sudah sedia terbeban, cabaran besar guru hari ini berlegar kepada matlamat untuk memuaskan hati ibu bapa dan masyarakat. Malangnya dalam memastikan usaha itu berjaya, banyak halangan perlu dihadapi, namun tidak semua memberi sokongan menjadikan tugas guru yang semakin sukar. Ditambah tekanan memenuhi standard tugasan, persekitaran, bilik darjah, keluarga dan sebagainya, guru pasti sukar ‘bernafas’.
Jadi mengapa masyarakat tidak mahu memudahkan tugasan itu dengan bersama menggembleng usaha dan memberi ruang privasi kepada guru mencorakkan sendiri tanggungjawab mereka. Dengan cara ini ia akan dapat membantu guru lebih berdaya saing dan kurang tekanan. Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris, Ab Aziz Mohd Yatim, berkata tekanan terhadap komitmen tugas yang perlu dilaksanakan mengikut standard tertentu memungkinkan guru bertindak di luar batasan. Menurutnya, guru yang tidak sanggup lagi menerima tekanan boleh bertindak di luar kawalan termasuk melempiaskan kemarahan kepada pelajar tanpa disedari hingga mengakibatkan masalah lain. Dulu guru boleh mencorakkan cara pengajaran sendiri tanpa perlu memberi banyak komitmen terhadap tugasan lain. Berbanding sekarang, terlampau banyak kerja remeh temeh terpaksa dilakukan termasuk tugas dokumentasi yang perlu diserahkan kepada pihak tertentu.


Tekanan demi tekanan di samping tidak mendapat sokongan persekitaran menyebabkan segelintir guru akhirnya tertekan. Untuk menyalur atau meredakannya, mereka menzahirkan kepada golongan yang tidak mampu melawan dan kebiasaannya golongan pelajar menjadi pilihan. Tetapi ramai tidak prihatin terhadap masalah ini dan mebebankan segala tanggungjawab pada guru. Apatah lagi kebanyakan pelajar hari ini ‘tidak makan saman’ menyebabkan guru bagai terpaksa mengambil tindakan luar biasa untuk mengimbangi keadaan meskipun salah. Oleh itu guru yang berasakan diri bermasalah agar dengan rela hati bertemu kaunselor atau pihak bertauliah untuk meredakan tekanan dan mencari alternatif terbaik untuk mengawal diri.Tidak usah malu dan ketepikan persepsi buruk orang lain demi kebaikan diri sendiri.
Amat malang sekali imej guru yang selama ini dihormati tercalar gara-gara masalah yang boleh diselesaikan. Dalam hal ini, masyarakat atau pelajar tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya kerana mereka berhak untuk bersuara. Ini kerana matlamat utama pendidikan di Malaysia ialah untuk menampung keperluan tenaga kerja dan mencapai perpaduan negara melalui perkembangan individu yang bersepadu dan menyeluruh dari segi jasmani, emosi, rohani,intelek dan sosial (JERIS) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Bagi menyempurnakan hasrat FPK ini, para guru telah diamanahkan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik bukan sahaja dari segi penyebaran ilmu bahkan dalam pembentukan sahsiah anak didiknya. Generasi yang berilmu dan berakhlak tinggi dapat melahirkan bangsa yang bertamadun. Pihak pentadbir dan perancang sentiasa mengharapkan agar guru mempunyai cita-cita unggul iaitu membina masyarakat yang bertamadun tinggi.
Apabila FPK dihayati, guru harus sedar bahawa mereka sebenarnya memikul tanggungjawab yang amat berat. Guru perlu mencurahkan ilmu sama ada pelajarnya mahu atau tidak mahu menerimanya. Di samping itu, mereka harus peka dengan perubahan semasa dan menyesuaikannya secara bijak bagi menangani masalah pengajaran dan pembelajaran terutama yang berkaitan dengan disiplin pelajar. Pada amnya, guru perlu pakar atau profesional dalam segala bidang. Untuk menjadi guru yang profesional, seseorang guru itu harus menekankan tiga aspek penting dalam dirinya iaitu kepakaran, pengetahuan dan pembentukan sahsiah (Robiah, 1998).Mereka bukan sahaja berkemahiran mengajar dan mengembangkan ilmu, malah sikap, tingkah laku dan disiplin diri harus dibentuk ke arah profesional.
Kementerian Pendidikan telah berusaha sejak dari dahulu lagi untuk menjadikan bidang perguruan ini sebagai satu kerjaya yang profesional. Laporan Suruhanjaya Diraja Mengenai Perkhidmatan Perguruan Malaysia Barat (Laporan Aziz, 1971), telah mencadangkan supaya diadakan Etika Profesion Perguruan (EPP) bagi Pembentukan Tatasusila Guru. Semua guru yang telah memperolehi sijil perguruan perlu mematuhinya. Namun begitu sehingga ke hari ini kita masih lagi mendengar berita yang tidak menyenangkan baik dari segi tindakan atau hukuman terhadap pelajar yang melampau mahupun salah laku guru sendiri yang mencalar kewibawaan profesion perguruan ini. Dalam usaha untuk memastikan martabat pendidikan terus terpelihara dan tidak terpinggir dalam perubahan arus zaman, Etika Profesion Perguruan (EPP) harus dikaji semula (Najib, 1977). Pengamalan EPP di kalangan guru-guru adalah penting demi menjamin martabat profesion perguruan sentiasa dipandang mulia di mata masyarakat.
Kejayaan dan pencapaian matlamat pendidikan berkait rapat dengan kesedaran guru terhadap tanggungjawabnya sebagai pendidik selaras dengan EPP yang telah dimaktubkan dalam bentuk ikrar tercetak di halaman hadapan buku persediaan mengajar seperti berikut;

“Kami guru Malaysia, yakin bahawa tujuan utama pendidikan ialah berusaha
menuju ke arah pembentukan warganegara yang berilmu, yang taat setia, yang
bertanggungjawabdan berkebolehan....
.... dengan menyedari betapa besarnya tanggungjawab membimbing
anak muda untuk mencapai kemajuan sepenuh-penuhnya, maka dengan ini
kami menerima tatasusila berikut sebagai panduan.


Dari penyataan ikrar dan kod EPP di atas, guru sesungguhnya mempunyai beban yang berat untuk dijayakan. Sepanjang pengetahuan pengkaji, kajian mengenai pengalaman EPP di kalangan guru-guru di negara ini adalah terlalu sedikit. Pengkaji merasakan perlu meneruskan usaha ini bagi menambahkan hasil dapatan kajian. Hasil kajian ini kelak diharapkan dapat memberi gambaran terhadap amalan EPP di sekolah dan juga dapat mengenal pasti pelbagai usaha yang dapat membantu para guru mengamalkan EPP secara berterusan. Profesion keguruan adalah satu bentuk perkhidmatan sosial yang amat mencabar malah terdapat pelbagai tanggapan dan dakwaan berhubung profesion perguruan dewasa ini. EPP ini juga telah dicabar dengan perubahan drastik beban kerja guru sehinggakan ada yang melihat sekolah itu sebagai sebuah organisasi yang dihujani pelbagai bebanan tugas dan ada kalanya bentuk tugasan ini bukan yang terancang tapi sesuatu tidak terduga.
Pandangan sebegini pasti akan menyebabkan reputasi profesion perguruan yang sentiasa dipandang tinggi dan mulia akan terjejas. Guru sebagai profesion adalah seseorang yang tahu menghasilkan kerja bermutu tinggi dalam bidangnya serta sentiasa bersedia berkongsi kepakarannya di samping sentiasa berusaha memperbaiki dirinya. Matlamat kerjaya seorang guru ialah menghayati prinsip perkembangan yang berterusan. Impak daripada tugas yang dilaksanakan ternyata memberi sumbangan yang amat penting dalam pembangunan ekonomi dan masa depan generasi muda khususnya dalam konteks pembinaan modal insan. Seseorang guru perlu melalui beberapa peringkat dalam kerjayanya sebelum dapat mencapai ke tahap kepakaran atau kecemerlangan. Antara cabaran yang perlu ditangani para pendidik kini adalah untuk melahirkan masyarakat bersatu padu, berilmu pengetahuan dan berdaya saing. Ini kerana masyarakat kini bersifat dinamik dan progresif serta mula menyedari  bahawa pendidikan adalah alat penting untuk menjamin kesejahteraan hidup pada masa akan datang.
Pada asasnya profesion keguruan sejak dulu, kini dan selamanya adalah sama iaitu mengajar, mendidik serta merubah manusia yang bernama pelajar daripada keadaan tidak mengenal huruf, mengira dan membaca kepada celik huruf, bijak dan menjadi manusia berjaya. Tetapi kini pandangan masyarakat terhadap guru dan profesionnya mula berubah, jika dulu mereka dipandang tinggi tapi kini seakan-akan terpinggir. Perkembangan dan perubahan yang berlaku dalam bidang pendidikan hari ini menuntut perubahan perspektif masyarakat terhadap kerjaya ini.
Profesion keguruan tidak boleh dianggap sebagai satu kerjaya yang boleh diceburi sesiapa saja kerana hanya mereka mempunyai kualiti, berketerampilan, kewibawaan, kelayakan, minat. Iltizam, dan berjiwa pendidik layak menjadi guru.Di samping menuntut kesungguhan dan tanggungjawab guru dalam mengharungi cabaran di era globalisasi, pemantapan kebajikan dan kerjaya harus diberikan penekanan sewajarnya. Daoed Yoesoef (1980) menyatakan bahawa seorang guru mempunyai tiga tugas pokok iaitu tugas profesional, tugas manusiawi, dan tugas kemasyarakatan (sivic mission). Jika dikaitkan guru dengan kebudayaan, maka tugas pertama mereka adalah berkaitan dengan logik dan nilai estetika, tugas kedua dan ketiga berkaitan dengan etika. Tugas-tugas profesional dari seorang guru iaitu meneruskan atau transmisi ilmu pengetahuan, keterampilan dan nilai-nilai lain yang sejenis yang belum diketahui anak dan seharusnya diketahui oleh anak.
Tugas manusiawi adalah tugas-tugas membantu anak didik agar dapat memenuhi tugas-tugas utama dan manusia kelak dengan sebaik-baiknya. Tugas-tugas manusiawi itu adalah transformasi diri, identifikasi diri sendiri dan pengertian tentang diri sendiri.Usaha membantu kearah ini seharusnya diberikan penekanan terhadap pengertian bahawa manusia hidup dalam satu unit organik yang diintegrasikan untuk menjadi produk yang baik dan berguna untuk orang lain. Hal ini menunjukan tugas pertama dan kedua harus dilaksanakan secara menyeluruh dan tersepadu. Guru seharusnya melalui pendidikan ini dengan tenang dan mampu membantu pelajar untuk mengembangkan daya berfikir atau intelektual mereka sehingga mampu untuk menjadi kreatif dalam proses transformasi kebudayaan ke arah keadaban demi memperbaikikehidupnya sendiri dan kehidupan masyarakat sekelilingnya.
 Proses mendidik itu bukan saya terletak di bahu guru sahaja tetapi harus dilaksanakan secara bersama-sama dengan masyarakat untuk kehidupan yang lebih harmoni dan dinamik. Seorang guru itu tidak hanya mengajar di dalam kelas saja tetapi seorang guru harus mampu menjadi fasilitator, motivator dan dinamisator pembangunan mausia. Kesimpulannya beban kerja guru merupakan satu bentuk cabaran yang bakal melahirkan modal insan yang baik dan sempurna disamping itu guru juga memainkan peranan dalam mempengaruhi pengajaran dan pembelajaran. Personaliti seorang guru itu  sering menjadi perhatian pelajar-pelajar. Guru yang mempunyai sifat sabar yang tinggi, mesra, bertimbang rasa, kesediaan mendengar, kesediaan menerima kritikan, rajin, adil, periang dan berdedikasi akan mencerminkan personaliti diri seseorang guru itu untuk menjadi pendidik yang sejati.
Guru juga perlu mempunyai sifat yang kreatif dan inovatif bagi membolehkan guru mencapai prestasi yang tinggi. Sifat kreatif dan inovatif yang ada pada guru itu, akan mewujudkan pengajaran guru yang lebih menyeronokkan, diminati dan meninggalkan kesan kepada pelajar serta secara tidak langsung dapat mempengaruhi pelajar untuk terus belajar. Individu yang bergelar guru perlu sentiasa melakukan refleksi dan kritik-kendiri, fleksibel dalam pendekatan-pendekatan pengajaran dan pembelajaran dan perlu mempunyai semangat untuk mengajar pelajar. Selain  sering menjadi penilaian yang dibuat bersama oleh anggota masyarakat khasnya pelajar dan ibubapa.
 Ini kerana tekanan mental tidak akan memudaratkan seseorang sekiranya ditangani dengan hati yang tenang dan relaks. Analogi mudah bagi tekanan mental ialah “pengambilan vitamin”. Pada prinsipnya, tekanan mental sama seperti pengambilan vitamin. Pengambilan vitamin yang seimbang akan meningkatkan sistem immunisasi individu. Walaupun begitu, pengambilan vitamin yang berlebihan pula akan mendatangkan kesan sebaliknya! Begitu jugalah dengan tekanan mental kerana tekanan mental yang optimum akan memajukan seseorang tetapi tekanan mental yang terlampau akan membebankan dirinya. Ini kerana masa depan negara terletak di tangan warga pendidik.

No comments:

Post a Comment