Sunday, September 2, 2012

Gejala Sosial Dan Peranan Profesionalisme Guru Ulasan Oleh : Siti Nazirah Bt Jaafar


1.0 Pengenalan      
Memetik penulisan dalam satu artikel iaitu

“ Saban hari ada sahaja ceritera kurang enak yang didengari mengenai salah laku remaja. Seolah-olah menunjukkan permasalahan tersebut bagai tiada berpenghujung. Buang anak, lari dari rumah, penagihan dadah, seks bebas, seks songsang, derhaka kepada ibu bapa, gangsterisme dan ponteng sekolah sering menjadi tajuk-tajuk dalam laporan media. Walaupun sering diperkatakan, isu gejala social masih juga tidak berkesudahan. Segala usaha yang diambil seolah-olah mencurah air ke daun keladi apabila isu ini dilihat semakin meruncing.
Sumber : Artikel Utusan Malaysia Online, bertarikh 3/42012

Dalam pada itu, terdapat kes yang merekodkan murid tahun satu cederah parah ditikam di sekolahnya. Dia turut dipukul dengan kayu dan dibaling dengan batu oleh sekumpulan murid lelaki, dipercayai rakan sekolahnya kerana enggan memberikan mereka wang RM10 ( Utusan Malaysia, 2000 ). Kebejatan gejala sosial dalam kalangan anak muda sudah menjadi satu isu dalam masyarakat bahawa anak-anak muda merupakan golongan yang sering terlibat dalam gejala sosial. . Apa yang pasti gejala sosial dikatakan sering berlaku dalam kalangan anak-anak muda kerana mereka beralih daripada zaman kanak-kanak ke alam dewasa. Keadaan ini mempengaruhi kehidupan seharian mereka di rumah dan hal ini akan terbawa-bawa ke sekolah.

Gejala merupakan tanda, alamat, petanda akan berlaku sesuatu. Manakala sosial merupakan perkara yang berkaitan dengan masyarakat. Umumnya, sosial ialah interaksi. Dalam situasi kemasyarakatan, aktiviti sosial antara masyarakat merupakan satu perkara yang positif namun begitu gejala sosial merupakan satu wabak yang perlu ditanggani daripada awal pembangunan anak-anak. Gejala sosial dibahagikan kepada beberapa aspek iaitu devian ( sikap melampaui batas ), delikuensi ( tingkah laku yang bertentangan dengan norma masyarakat ).



2.0 Gejala Sosial Dalam Kalangan Pelajar Sekolah

Menurut pakar perkembangan kanak-kanak Bronfenbrenner, menjelaskan dalam teori perkembangan kanak-kanak bahawa perkembangan kanak-kanak dipengaruhi oleh persekitaran. Dalam teori ekologi yang diperkenalkan oleh Bronfenbrenner, persekitatan rumah merupakan persekitaran yang paling dekat dengan anak di mana  ia mengandungi nilai-nilai, pengawalan, tradisi yang memainkan peranan penting sebagi agen pembangunan dalam pembangunan kanak-kanak ( Zahyah Hanafi, 2008 ).

Mumtaj Hassan dari Fakulti Pengurusan Awam dan Undang-Undang , UUM dalam artikel bertajuk Kanak-Kanak dan Jenayah : Pendekatan Akta Kanak-Kanak 2001 menyatakan bahawa sebenarnya banyak faktor yang mempengaruhi seseorang kanak-kanak itu untuk melakukan kesalahan yang bersifat jenayah. Antaranya termasuklah faktor kurangnya pendidikan agama, longgarnya institusi kekeluargaan, pengaruh negatif rakan sebaya, kesan persekitaran yang tidak sihat, naluri ingin mencuba, pengaruh media massa dan sebagainya. Dalam pada itu, Mohd Reduan Aslie ( 2009 ) menjelaskan dalam ilmu kriminologi kecenderungan seseorang melakukan kesalahan bermula daripada zaman kanak-kanak. Apa yang dapat dikesan disini ialah, gejala sosial yang berlaku berleluasa pada masa kini dilihat tiada penghujungnya. Menurut kajian yang dijalankan oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan , Kementerian Pendidikan kadar jenayah dalam kalangan pelajar meningkat secara drastik malah budaya gengsterisme berada di tahap yang membimbangkan ( Abdullah Sani Yahaya, 2005 ). Berikut merupakan fakta berkaitan gengsterisme yang berlaku di sekolah-sekolah seluruh negara :


Negeri
Bilangan Sekolah
Selangor
77 buah
Perak
60 buah
Pulau Pinang
49 buah
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kelantan & Sabah.
37 buah
Pahang
35 buah
Kedah
32 buah
Negeri Sembilan
14 buah
Melaka
10 buah
Terengganu
8 buah
Perlis & Sarawak
6 buah
Jumlah
328 buah
Dipetik daripada Abdullah Sani Yahaya, 2005 : Mengurus Disiplin Pelajar.
Jadual 1 : Statistik menunjukkan bilangan sekolah di seluruh Malaysia yang berisiko tinggi dan terdedah kepada kegiatan gengsterisme.

Berdasarkan statistik yang dinyatakan, secara jelas menunjukkan bahawa kegiatan gengsterisme yang sering berlaku di Kuala Lumpur, Hong Kong, negara Colombia, Mexico sebaliknya ia berlaku di sekolah-sekolah di seluruh Malaysia. Keadaan ini menjelaskan bahawa walaupun sekolah menjadi pusat kegiatan akademik bagi remaja namun mereka masih terdedah dengan gejala negatif seperti gengsterisme.  Sekolah yang diharapkan sebagai tempat yang kondusif untuk belejar akan menjadi sebaliknya.

Selain itu, kegiatan buli yang popular di sekolah ialah sewaktu minggu suai kenal. Che Surahaya Che Wil, 2006 dalam Juvana menyatakan bahawa terdapat unsur-unsur buli sewaktu minggu suai kenal. Namun, kegiatan ini dianggap biasa kerana hukuman yang dikenakan kepada pelajar baharu adalah ringan sahaja. Terdapat beberapa kes dari awal tahun 2006 hingga 2010 yanng menunjukkan mangsa buli koma, lumpuh malah ada yang menyebabkan kematian. Contoh mangsa buli ialah adik Mohd Afiq Qusyairi, 13 tahun dari SMA Almaidah Addiriah, Padang Tengku, Lipis, Pahang yang lumpuh kerana dipukul oleh empat belas pelajar. Malah, terdapat beberapa kes yang dicatatkan setiap tahun. 

Kes gengsterisme dan buli merupakan antara salah satu di antara pelbagai masalah sosial yang berlaku dalam kalangan remaja. Terdapat pelbagai lagi isu sosial yang berlaku dalam kalangan remaja. Persoalan kini ialah adakah tugas guru yang semakin membebankan dan autoriti kepada murid yang terhad menyebabkan gejala sosial ini tidak dapat dibendung. Malah, ada pihak yang menunding jari kepada profesion perguruan yang dikatakan tidak menyeluruh dalam melahirkan anak murid yang berkualiti. Apa yang penting, profesion perguruan sebenarnya telah mempunyai garis panduan kepada guru untuk membentuk budaya kerja yang lebih cemerlang dan melahirkan klien ( murid-murid ) yang seimbang seperti yang telah digariskan oleh Falsafah Pendidikan Negara. Malah, profesion ini juga mempunyai Falsafah Guru sendiri dalam membentuk klien yakni anak murid yang berkualiti.


3.0 Peranan Profesionalisme Guru Membendung Gejala Sosial Remaja

Menurut Abd Rahim Abd Rashid ( 2001 ), masalah keruntuhan moral di kalangan generasi muda dewasa ini amat membimbangkan dan mencabar peranan sistem pendidikan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial dan moral kepada masyarakat. Tambah beliau lagi tanpa mempunyai wawasan moral yang kuat, sekolah dan sistem pendidikan di negara ini tidak mungkin dapat melaksanakan wawasan dan misi perjuangan ke arah membentuk golongan muda yang berhemah dan bermoral.   Perkara ini jelas menunjukkan bahawa, dalam cabaran globalisasi kini, guru berperanan penting dalam membentuk dan mengukuhkan jati diri di anak murid di sekolah.

Richard Layard ( 2009 ), menyatakan bahawa pada masa kini bagi perkembangan yang baik, anak-anak memerlukan aspek berikut iaitu keluarga bahagia, gaya hidup positif, nilai-nilai baik, persekitaran sekolah yang baik, kesihatan mental yang baik dan wang yang mencukupi untuk hidup dalam kalangan rakan-rakan mereka tanpa rasa malu. Walaubagaimanapun, untuk memberikan kesemua di atas adalah suatu cabaran masyarakat terhadap anak-anak kini.Namun begitu gejala sosial yang berlaku dalam kalangan remaja menjadi persoalan kepada masyakat kini, banyak pihak yang menunding jari kepada sistem pendidikan negara disebabkan oleh masalah ini. Akibatnya, terdapat pihak yang merasakan sistem pendidikan negara mempunyai kelemahan dalam melahirkan generasi yang berkualiti. Memetik ulasan dari artikel yang sama iaitu

"Sikap guru yang lebih menumpukan perhatian kepada pelajar cemerlang juga tidak sepatutnya berlaku kerana ia akan membuatkan pelajar yang lemah semakin rasa tersisih. Sepatutnya perhatian harus diberikan kepada pelajar yang lemah dan bermasalah kerana guru adalah pengganti ibu bapa di sekolah”.
Sumber : Artikel Utusan Malaysia Online, bertarikh 3/42012

Hal ini jelas menunjukkan bahawa terdapat segelintir pihak yang merasakan sistem pendidikan negara tidak lagi mampu mengembangkan potensi pelajar seperti mana yang diharapkan oleh Falsafah Pendidikan Negara. Hal ini kerana, berikutan era globalisasi kini, pelbagai implikasi positif berlaku terhadap institusi pendidikan negara. Seiring itu, kesan negatif juga berlaku seiring pembangunan yang dikecapi. Menurut Nik Azis Nik Pa & Noraini Idris ( 2008 ), cabaran kritikal yang dihadapai oleh institusi pendidikan negara ialah untuk meningkatkan kualiti institusi pendidikan secara menyeluruh bagi mengekalkan keyakinan rakyat pada tahap yang lebih tinggi terhadap kecermelangan institusi tersebut. Kualiti pendidikan yang ditawarkan dan status institusi pendidikan tidak dapat disembunyikan daripada pengetahuan umum kerana ada pihak yang membuat perbandingan dan penarafan institusi pendidikan secara gobal dan menyebarkan maklumat tersebut dengan meluas. Ahli pendidik mendapati bahawa, murid yang berkebolehan untuk membuat pilihan sendiri akan menjadi anggota masyarakat yang lebih produktif. Manakala Durkheim, Facouner dan Schnurer dalam Nik Azis Nik Pa& Noraini Idris ( 2008 ),  perkembangan moral yang menjadi fokus pendidikan moral bergantung kepada pengalaman hidup yang bermakna, sama seperti perkembangan kognitif atau fizikal. Ahli pendidik moral mendapati bahawa perkembangan moral adalah satu aspek penting bagi perkembangan hidup manusia dan perkembangan tersebut bergantung kepada wawasan individu dan interaksi sosial.

Shaffer dalam Nik Azis Nik Pa & Noraini Idris ( 2008 ),  menegaskan bahawa kanak-kanak yang terdedah kepada pelbagai jenis pengalaman pembelajaran dalam konteks keluarga dan komuniti akan mempunyai peluang untuk membezakan perkara baik daripada perkara buruk pada tahap yang abstrak dan kompleks secara progresif. Nik Azis Nik Pa & Noraini Idris ( 2008 ), menjelaskan dalam negara kita matlamat keseluruhan program Pendidikan Moral adalah untuk melahirkan individu yang memahami, menerima dan mempraktikkan peranan mereka sebagai warganegara yang bertanggungjawab selaras dengan nilai murni masyarakat Malaysia.

            Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi mengariskan beberapa cabaran yang perlu dimatapkan antaranya ialah melahirkan sumber manusia yang berkualiti. Guru yang terlatih dan mempunyai ciri-ciri yang dikehendaki akan dapat melahirkan budaya pendidikan yang berkualiti.Menurut Syed Ismail Bin Syed Mustafa & Ahmad Subki Bin Miskon ( 2012 ), para guru perlu sedar bahawa mereka sebenarnya memikul satu akauntabiliti yang besar. Tanggungjawab guru pada masa kini, bukan sahaja untuk mengajar mengikut sukatan yang ditetapkan, tetapi guru perlu mendidik dan peka dengan perubahan-perubahan yang melanda dalam dunia pendidikan masa kini. Sehubungan itu, sebagai seorang guru yakni penjawat awam kementerian telah mengeluarkan arahan perkhidmatan ( 1974 ) menghendaki seseorang pegawai awam sentiasa bersikap adil dan saksama terhadap orang ramai dan memberi mereka layanan yang teratur dan memuaskan. Dalam satu etika profesion perguruan, antaranya ialah guru mempunyai akuntabiliti kepada murid. Dalam hal ini, akuntabiliti telah mengariskan panduan kepada guru bahawa setiap guru perlu lebih mengutamakan kebajikan dan keselamatan murid daripada hal-hal lain. Mengulas lanjut kenyataan Syed Ismail Bin Syed Mustafa & Ahmad Subki Bin Miskon ( 2012 ) berkaitan akuntabiliti guru untuk melahirkan murid yang seimbang selaras dengan kehendak FPN, guru perlu bersikap adil terhadap setiap orang murid tanpa mengira fakor jasmani, mental, emosi, politik, eknomi, social, keturunan atau agama.

            Beck ( 1990 ) mebincangkan peranan penting sekolah termasuklah memupuk nilai-nilai yang baik untuk mencorak perkembangan sosial, moral, kerohanian dan perkembangan personal pelajar. Keadaan ini sejajar dengan matlamat pendidikan iaitu untuk melahirkan kehidupan dan pengamalan nilai-nilai yang sihat dalam diri pelajar. Mengikut Beck, banyak faktor yang masih lagi membelenggu nilai-nilai di sekolah seperti bias terhadap agama, kaum, etnik, seks dan juga gender. Reformasi perlu berlaku dalam pendidikan dan di sekolah bagi mencorakkan perubahan hala tuju masyarakat yang lebih baik.

            Mengulas hal ini, cabaran guru pada masa kini ialah untuk mengenepikan unsur-unsur perbezaan murid dan memberikan yang terbaik untuk melahirkan generasi yang mempunyai jati diri untuk mengekang masalah sosial yang berlaku dalam kalangan remaja. Hal ini kerana, guru yang memberikan layanan yang berbeza-beza akan menyebabkan anak murid rasa tersisih. Perasaan ini akan mewujudkan jurang antara pelajar yang diberikan sering diberikan perhatian dengan pelajar yang tidak mendapat hak yang sepatutnya. Syed Ismail Bin Syed Mustafa & Ahmad Subki Bin Miskon ( 2012 ) menyatakan kajian keciciran telah menunjukkan bahawa keluarga yang miskin merupakan keluarga yang kurang moden dan rendah pula motivasi pendidikannya. Dalam hubungan ini, jika mereka tidak diberi layanan yang sama rata, maka sudah tentulah pendapaian mereka akan terjejas. Motivasi murid yang rendah akan menjejaskan dorongan murid-murid untuk belajar dengan tekun. Ini akan menyebabkan pencapaian persekolahan juga terjejas.

            Apa yang lebih membimbangkan ialah, murid-murid yang mengambil jalan mudah dengan menjauhkan diri daripada sekolah dengan ponteng sekolah. Gejala ponteng menyumbang kepada peningkatan gejala sosial dalam kalangan anak muda. Ponteng sekolah membawa maksud kegiatan menjauhkan diri daripada sekolah tanpa keizinan guru atau ibu bapa. Punca ponteng sekolah dalam kalangan pelajar ialah malas, sengaja tidak mahu datang sekolah, guru berleter, peras ugut, kemiskinan rumah tangga, tidak siap kerja yang diberikan guru, disiplin yang ketat di sekolah dan lain-lain lagi ( Abdullah Sani Yahaya, 2005 ).

            Sehubungan itu, guru perlu menjalankan pendekatan ‘kepedulian guru’ apabila berhadapan dengan masalah murid. Hal  ini kerana, tugas utama guru ialah untuk mendidik anak murid. Pendekatan kepedulian guru sangat penting dalam mendapatkan kepercayaan anak murid dan mendekatkan perhubungan antara guru dan murid. Kepedulian merupakan kesanggupan seseorang untuk bekorban demi orang lain. Kepedulian didefinisikan sebagai mengambil berat terhadap orang lain. Dalam konteks guru, setiap guru perlu mempunyai sifat kepedulian untuk menghadapi murid dalam kelas. Hal ini kerana, murid akan merasakan bahawa guru sentiasa dekat dan menjaga hati guru yang peduli terhadap masalah mereka. Dengan ini, hubungan yang kondusif dalam kelas akan mewujudkan interaksi dua hala antara guru dan murid. Malah, suasana yang kondusif ini akan dapat membantu guru mencapai objektif pembelajaran dan pengajaran dalam kelas. Noddings dalam Syed Ismail Bin Syed Mustafa & Ahmad Subki Bin Miskon ( 2012 ) menjelaskan pendidikan merupakan medium perantaraan untuk mengembangkan perasaan kasih sayang dalam masyarakat. Melalui pendidikan, beliau menjelaskan bahawa perjumpaan dirancang atau tidak dirancang menggalakkan perkembangan melalui penimbaan ilmu pengetahuan, kemahiran, pemahaman dan penghargaan. Jelas Noddings, sekolah yang merupakan tempat utama untuk menimba ilmu pengetahuan. Melalui ilmu pengetahuan, murid dapat membentuk tingkah laku melalui disiplin dan matlamat diri yang jelas.  Seterusnya, sikap kepedulian guru ini, akan membantu guru untuk menjalankan akauntabiliti terhadap murid dengan adil dan saksama.

            Sehubungan itu, guru berperanan sebagai agen perubahan. Peranan guru di sekolah ialah untuk membawa perubahan dalam masyarakat. Sebagai agen perubahan, guru perlu membawa ilmu pengetahuan dan menyampaikan kepada masyarakat. Melalui ini, sudah menjadi tanggungjawab para guru untuk memberikan pelbagai pengetahuan yang dapat digunakan oleh masyarakat dalam kehidupan seharian mereka. Oleh itu, guru perlu mempunyai kecemerlangan hidup untuk menjadi agen perubahan. Omar Mohd Hashim ( 1999 ), menjelaskan perasaan puas hati untuk kekal berada pada tahap yang rendah dan mediacore akan membawa natijah yang buruk. Maka, dalam dunia yang kuat bersaing, tidak ada cara dan matlamat lain, melainkan mengarah dan mengejar ke tahap kecemerlangan dalam semua bidang, kerja dan tugas. Peranan guru sangat besar sebagai agen perubahan sosial. Warga pendidik mempunyai tanggunghawab dan tugas besar untuk melayan jangkaan masyarakat dunia. Sebagai guru yang berada di alam pendidikan, perlu mempunyai sensitiviti terhadap perubahan baik mahupun buruk kerana dunia sudah menjadi kecil. Selain itu, Omar Mohd Hashim ( 1999 ) menjelaskan, persiapan rapi dan bersungguh-sungguh perlu untuk mencapai kecemerlangan. Melalui kecemerlangan diri, guru dapat membentuk insan sekeliling yakni murid-murid. Malah, perlu ada visi jauh dan guru perlu bersifat pragmatik, rajin berusaha, serba boleh, berilmu, rajin, berdisiplin dan teratur. Tambahan itu, guru perlu mempunyai hubungan meluas dan baik, mempunyai kemahiran komunikasi. Melalui usaha berterusan para pendidik bagi meningkatkan kecermelangan profesionalisme, sistem pendidikan akan dapat melahirkan warganegara yang berdisplin, tekun, berusaha dan mempunyai generasi seimbang. Malah, dengan ini rakyat Malaysia akan dapat menghadapi cabaran dalam kehidupan dengan menyusaikan diri dengan perubahan terutamanya cabaran globalisasi masa kini. Menyoroti usaha ini, tugas para guru sebaga agen perubahan dapat dilihat dalam pembentukan disiplin murid. Melalui sekolah dan bilik darjah guru dapat membawa perubahan besar kepada disiplin murid melalui dua aspek tersebut. Para guru perlu menunjukkan contoh teladan ( kepimpinan melalui teladan ), malah guru perlu memerhatikan tingkah laku pelajar seperti minat, sikap, pergerakan secara keseluruhan untuk membentuk disiplin yang baik dalam diri mereka. Aspek penilaian di sekolah seperti ujian, peperiksaan dan pencapaian murid dalam kelas menunjukkan keberkesanan pengajaran guru. Namun begitu, guru perlu sentiasa berfikiran positif dan mencari jalan untuk membantu pelajar lemah dengan tidak mengabaikan mereka. Malah, guru tidak perlu terlalu menekankan aspek exam-oriented dalam kelas. Apa yang penting, penyampaian dan arahan guru perlu jelas. Murid-murid perlu tahu bahawa guru telah melakukan perkara terbaik dalam mengajar mereka, maka murid-murid perlu membantu diri sendiri dengan belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan diri. Jelas, tugas guru sebagai agen perubahan menuntut budaya kerja yang kuat dalam kalangan guru untuk mencapai matlamat membentuk budaya kondusif dalam diri pelajar.

Di samping itu, tidak dapat dinafikan lagi bahawa, guru berperanan besar dalam membentuk dan mencorak tingkah laku murid. Malah kajian oleh Universiti Chicago ( Czikszentmihalyi, 1987 ) dalam Abdullah Sani Yahaya, mendapati bahawa purata masa yang dikongsi oleh remaja dengan ibu bapa yang bekerja hanya 12 jam seminggu. Ibu bapa kekurangan masa bagi mengasuh, mendidik dan membimbing anak mereka. Masa anak-anak banyak dihabiskan diluar rumah terutamanya sekolah. Prof Madya Dr Abd Rahim Abd Rashid ( 2001 ) menghuraikan peranan guru dalam mencorak perkembangan nilai dalam pembangunan sekolah cukup luas. Guru yang datang dari pelbagai latar belakang sentiasa mempengaruhi pemikiran pelajar dari masa ke masa. Malah, pengaruh ini dikatakan tiada sempadan. Tambah beliau lagi, guru-guru yang berpengaruh dan berkesan menjadi role-model kepada pelajar. Nilai-nilai tersebut disebarkan melalui aspirasi dan idealisme guru dalam pelbagai perkara. Sebagai agen sosial, sekolah menjadi tempat guru menyampaikan ilmu dan membentuk tingkah laku murid. Malah, sekolah berperanan sebagai penyampai kebudayaan dan melahirkan nilai-nilai budaya. Di sekolah, nilai merupakan unsur budaya yang penting dalam mencorakkan kebudayaan murid bagi perkembangan moral, akhlak, tingkah laku, hubungan sosial, tindakan dan peranan murid. Teori sosialisasi memberi penekanan kepada nilai-nilai sosial dan moral yang perlu dititikberatkan bagi membentuk individu yang dapat mempertahankan cara hidup berhemah, bersopan dan berakhlak mulia. Oleh itu, guru berperanan untuk menjadi agen sosial kepada murid dengan menerapkan nilai-nilai agama, baik dan bermoral dalam diri pelajar. Melalui pengajaran merentasi kurikulum, guru dapat menyampaikan nilai murni dan agama bagi menguatkan perkembangan akhlak dan moral individu bagi menghadapi cabaran masa kini.

Selain itu, dalam menjadi agen sosial pendidik perlu berfikiran positif sebagai mekanisme sosial bagi menanamkan nilai-nilai moral, akhlak, kerohanian dan tingkah laku yang baik serta mendidik golongan muda supaya mereka dapat mempertahankan nilai-nilai yang mendorong kemajuan dan kesejahteraan hidup. Satu istilah penting dalam tugas guru sebagai agen sosialisasi ialah sebagai salah satu pembentuk jati diri murid. Jati diri bermaksud membentuk dan membina diri setiap individu ke arah positif. Antara tujuan pembinaan jati diri ialah membentuk ketrampilan diri dari segi pemikiran, pergerakan, berpakaian, berbahasa, cara memberi maklum balas dan tindakan balas secara positif serta mempunyai sifat murni dalam pergaulan seharian ( Ahmad Marzuki Ismail, 2006 ). Dalam pada itu, jati diri membolehkan individu menerima dan menangani segala perubahan dan perkembangan semasa dengan sebaik mungkin. Di samping itu, antara peranan utama guru ialah mendidika murid supaya rajin membaca dalam kehidupan seharian mereka. Walaupun hal ini dilihat remeh, namun guru perlu menjadi agen sosial dalam memangkinkan budaya membaca dalam diri pelajar. Di sekolah, program seperti Nilam, sudut bacaan, kempen membaca merupakan tanggungjawab sosial guru secara tidak langsung dalam memupuk budaya membaca. Peranan membaca penting dalam pembentukan jati diri. Pembacaan dalam kalangan pelajar dilihat masih berada pada tahap rendah. Pembacaan dapat membantu generasi muda untuk berkembang dari aspek intelek, rohani dan emosi. Melalui pembacaan, individu akan mendapat mesej secara berkesan, dapat dihayati dan diamalkan. Pelajar perlu diberi pendedahan tentang kaedah membaca, masa dan tempat yang sesuai untuk membaca. Maka, dengan cara ini akan dapat memastikan bahan bacaan memberi sumbangan nilai dan moral kepada pembaca.

             

4.0 Penutup

Ulasan mengenai aspek penyumbang kebejatan gejala sosial dan hubungkait dengan isu keguruan telah disenaraikan satu persatu. Malah, gejala sosial yang berlaku juga telah diperjelaskan untuk mengatasi masalah ini. Masalah gejala sosial ini dilihat mempunyai perkaitan dengan isu keguruan masa kini.
           
Para pendidik perlu bersifat terbuka dalam mendidik anak-anak muda di sekolah. Mereka perlu diberi peluang dan ruang untuk mengekspresikan perkembangan diri. Misalnya, kegiatan-kegiatan yang dijalankan di sekolah perlu lebih dimanfaat dengan kualiti masa berbanding kuantiti masa yang ada. Setiap kegiatan yang dilakukan dalam sekolah perlu diterapkan dengan semangat bersungguh-sungguh dan akur kepada peraturan dan keputusan sekolah. Dengan ini, pelajar sekolah yang mematuhi peraturan dan menerima sesuatu dengan terbuka dapat dibentuk dari banguku sekolah dan dapat dibawa ke luar sekolah.
           
Selaras dengan kehendak Falsafah Pendidikan Negara yang mahu melahirkan generasi yang seimbang, para pelajar iaitu remaja seharusnya meningkatkan kemampuan diri dengan nilai-nilai murni. Kesemua nilai ini dapat diperoleh melalui pendidikan di sekolah. Ilmu pengetahuan dapat diperoleh dalam kelas sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran. Kemahiran dapat dikutip melalui pengalaman menjalankan aktiviti luar kelas seperti unit beruniform, kelab dan pertubuhan. Malah, bagi remaja yang berkemampuan kewujudan kelas muzik, kelas tarian, kelas fardhu ain dan bermacam lagi aktiviti di luar sekolah dapat diguna pakai untuk meningkatkan nilai tambah kepada diri.
           
Menurut Syed Ismail Bin Syed Mustafa dan Ahmad Subki Bin Miskon, kejayaan cemerlang dalam bidang akademik banyak bergantung kepada keupayaan murid dan guru menangani cabaran yang ada dalam sistem pendidikan negara seperti globalisasi dalam pendidikan, kemahiran menggunakan teknologi maklumat dengan sepatutnya, pendemokrasian pendidikan dan sikap keterbukaan kepada kepelbagaian budaya. Walaupun pada masa kini pembelajaran tidak perlu berorientasikan peperiksaan semata-mata, namun remaja perlu merebut peluang meningkatkan ilmu dalam diri. Bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu dan nilai-nilai murni perlu diterapkan sejak kecil dan diteruskan sehingga ke alam remaja. Melalui ini, pelajar yang mempunyai pedoman dan jati diri kukuh dapat mengatasi masalah dan dapat mengharungi cabaran gejala sosial dengan lebih bermanfaat kepada diri sendiri serta orang lain.

Sokongan kepada anak murid daripada guru amat bermakna berikutan guru merupakan pembentuk tingkah laku, pengurus pembelajaran, agen perubahan kepada mereka (Syed Ismail Bin Syed Mustafa&Ahmad Subki Bin Miskon, 2010 ). Murid-murid yang melakukan kesilapan seharusnya diberi peluang kerana kesilapan merupakan pengalaman dan pedoman untuk mengajar mereka agar tidak mengulangi perkara  yang sama.

Kesimpulanya, apa yang pasti globalisasi yang dihadapai remaja masa kini dapat di atasi melalui pedoman diri. Malah, jalan utama untuk menghadapi cabaran duniawi dalam diri remaja kini ialah berbalik kepada nilai-nilai murni. Malah, peranan guru dalam membentuk tingkah laku murid ke arah yang positif menuntut usaha berlipat ganda daripada warga pendidik sendiri.


2 comments: