Monday, September 3, 2012

Bebanan Kerja Guru Ulasan Oleh Nur Hakimah Bt Roslan


1.0       Artikel

2.0       Pengenalan
Tekanan merupakan satu penyakit yang sering dikaitkan dengan kesihatan mental dan kerap menyerang masyarakat pada hari ini. Kehidupan manusia pada alaf ini amat mencabar dan kompleks. Kepelbagaian dan kekompleksian kehidupan ini menyebabkan munculnya “Sindrom Baru” yang menyerang manusia iaitu tekanan atau lebih dikenali sebagai “stres”.Menurut Hatta Sidi dan Mohamed Hatta Shaharom (2002) stres merupakan sebahagian daripada kehidupan manusia sejak dahulu lagi tanpa disedari. Ia berubah wajah mengikut peredaran masa,Stres bukanlah suatu perkara yang asing bagi masyarakat negara ini. Stres biasanya dialami oleh semua manusia apabila berada dalam keadaan yang tidak menyeronokkan.
Profesion keguruan merupakan satu bentuk perkhidmatan sosial yang sungguh mencabar. Tenaga pengajar dan pengurus pendidikan seharusnya peka dengan perkembangan terkini dalam proses kepemimpinan, pengurusan, pengelolaan sumber, dan pencapaian matlamat pendidikan (Ibrahim Ahmad Bajunid, 1995). Justeru itu, dengan pelaksanaan pelbagai reformasi dalam pendidikan sudah pasti menjadikan peranan dan tanggungjawab guru menjadi lebih mencabar. Di Malaysia, fenomena stres di kalangan guru kini sedang hebat diperbincangkan dan dijadikan sebagai bahan kajian ilmiah. Malahan, kajian-kajian yang lepas juga mendapati bahawa profesion perguruan adalah bidang kerjaya yang menghadapi stres kerja yang tinggi (Cooper 1995, Hart et al.,1995) dalam Mokhtar (1998).
Menurut  Sapora Sipon (2007), menyatakan bahawa guru yang gagal mengawal diri akibat stres akan memberi kesan kepada perhubungan guru dengan pelajar dan juga mutu pengajaran dan pembelajaran. Perkara ini seterusnya boleh menjejaskan kualiti pendidikan dan juga profesion perguruan yang seterusnya akan membantutkan usaha mewujudkan sebuah masyarakat yang mampu membawa Malaysia ke tahap kecemerlangan dan  kegemilangan mutu pendidikannya. Tekanan kerja pada tahap yang tinggi juga akan membawa kepada  ketidakpuasan dalam membuat kerja dan akhirnya sikap suka mengelak dan mengabaikan kerja akan terhasil. Tindakbalas penyesuaian tekanan oleh guru merangkumi tindakbalas psikologikal (keletihan dan kemurungan), fisiologikal (sakit kepala dan tekanan darah tinggi) dan berkaitan sikap (pengambilan alkohol, merokok, gaya hidup dan masalah tidur).
Akibat suasana kerja yang teruk akan menyumbang kepada faktor tekanan dan seterusnya membawakepada ketidakpuasan kerja serta keinginan untuk meninggalkan profesion keguruan. Kyriacou & Sutcliffe (1978), menyatakan bahawa tekanan guru adalah berpunca dari aspek kerja mereka yang akhirnya menganggu emosi.  Gangguan emosi ini akhirnya menimbulkan rasa marah, perasaan tidak selesa, kebimbangan, tekanan serta kekecewaan yang tinggi.  Dalam hal ini , guru yang menghadapi tekanan adalah guru yang tidak dapat mengawal emosi mereka terhadap perubahan budaya pendidikan yang bukan sahaja untuk memberi ilmu pengetahuan tetapi perlu mendidik manusia agar menjadi manusia yang berguna. 
Oleh itu, bagi mewujudkan satu pengajaran dan pembelajaran yang berkesan guru-guru terpaksa melakukan kerja lebih masa bagi menyediakan alat bantu mengajar, menghadiri kursus dan bengkel sepanjang minggu bagi membuat penyesuaian terhadap kaedah pengajaran yang baru.  Pada masa yang sama pula guru perlu melakukan kerja-kerja pengkeranian dan ini telah meningkatkan tekanan di kalangan guru di sekolah. Terdapat pelbagai tanggapan dan dakwaan berhubung dengan kerjaya guru pada masa kini. Sesetengah ahli masyarakat mempunyai tanggapan bahawa kerja, beban dan tugas guru sekarang tidak mewujudkan kerjaya guru yang menarik.  Abdul Shukor (1986), melihat sekolah sebagai sebuah organisasi yang dihujani dengan pelbagai bebanan tugas dan ada kalanya tugas ini bukan satu yang terancang tetapi muncul dari situasi yang tidak diduga.
Jika suasana ini dibiarkan berterusan agak pasti suasana pengajaran dan pembelajaran akan menghadapi kegagalan dan matlamat tidak akan tercapai. Individu tidak akan dapat berfungsi dengan berkesan jika dia berada dalam keadaan tertekan (Smith, 1993; Girdano et al., 1993). Perasaan tertekan menjadikan seseorang itu tidak rasional, cemas, tegang, tidak dapat memusatkan perhatian kepada kerja dan gagal menikmati rasa gembira atau puas hati terhadap kerja yang dilakukan.  Guru-guru juga dikatakan berfikir dan mengambil keputusan untuk bersara sebelum tiba masanya kerana mengalami masalah tertekan, berang dan murung (Fejgin et al., 1995; Pastore dan Judd, 1992).
 Menurut laporan Marzita Abdullah (2003),Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) telah menggesa Kementerian Pelajaran agar menempatkan seorang kaunselor di setiap daerah di Negara ini dengan secepat mungkin.  Ini bertujuan bagi memastikan setiap kaunselor dapat meneliti masalah-masalah yang sering dihadapi oleh guru-guru terutama tekanan kerja. Dalam laporan tersebut, Presidennya Tengku Habsah TengkuPetsa bimbang guru-guru terbabit dengan tekanan kerja akan menghadapi tekanan yang lebihbesar seperti masalah mental. Menurut beliau, pihaknya sering menerima aduan daripadaguru-guru yang menghadapi tekanan kerja dan mengadu tidak tahan dengan bebanan kerjapersekitaran kerja, masalah kewangan dan keluarga.
3.0       Ulasan Artikel
Guru juga dibebankan dengan kerja pekeranian dan aktiviti kokurikulum, jejas tumpuan mereka bilik darjah menurut Mohd Puad Zarkashi Timbalan Menteri Pelajaran. Petikan kata-kata Timbalan Menteri Pelajaran ini menunjukan bahawa status guru bukan hanya disandang kerana terbabit dengan kerjaya berkenaan manakala secara khususnya, mereka masih seperti anggota masyarakat lain yang berdepan dengan tekanan dan cabaran.Apabila masyarakat menggunakan status guru dalam membuat penilaian, secara tidak langsung membabitkan keseluruhan golongan berkenaan. Dengan kata lain, kalau seorang bermasalah, semuanya seolah-olah melakukan kesalahan serupa dan patut dihukum.Sedangkan yang bermasalah hanya seorang dua.
Hakikatnya, mereka tetap sama seperti orang lain yang melaksanakan tugasan dan tanggungjawab dengan cabaran masing-masing. Kebelakangan ini imej guru serta sistem pendidikan negara bagaikan tercalar teruk dengan pelbagai insiden luar jangkaan menjadikan masyarakat mula menilai dan memperkatakan profesionalisme golongan guru di Malaysia ini. Jika dulu guru hanya menggunakan pendekatan rotan bagi tujuan mendidik, kini ada pula berani menggunakan kekerasan fizikal atas alasan sama. Malangnya kekerasan itu berakhir pula dengan tragedi. Beliau berkata masyarakat boleh menyalahkan guru yang bersalah, namun perlu adil membuat penelitian terperinci sebelum menjatuhkan andaian. Selain itu ada juga  guru yang berdepan dengan tekanan persekitaran luar biasa yang menjadi punca tindakan luar kewarasan, ditambah bebanan kerja serta sikap pelajar yang bermasalah.
Dunia pendidikan hari ini tidak sama seperti dulu. Cabaran keterlaluan bukan saja persekitaran tapi sikap segelintir masyarakat yang bongkak serta lepas tangan menjadikan guru seperti ditindas. Masyarakat tidak boleh memaksa untuk memenuhi kehendak mereka secara total, kesudahannya apabila sentiasa ditekan dan tertekan, mereka boleh hilang pertimbangan. Apabila timbul isu membabitkan guru, masyarakat pula memberikan hukuman dan komen negatif sedangkan kebenaran masih belum terbukti. Ini menambah lagi beban guru yang sudah sedia terbeban, cabaran besar guru hari ini berlegar kepada matlamat untuk memuaskan hati ibu bapa dan masyarakat. Malangnya dalam memastikan usaha itu berjaya, banyak halangan perlu dihadapi, namun tidak semua memberi sokongan menjadikan tugas guru yang semakin sukar. Ditambah tekanan memenuhi standard tugasan, persekitaran, bilik darjah, keluarga dan sebagainya, guru pasti sukar ‘bernafas’.
Jadi mengapa masyarakat tidak mahu memudahkan tugasan itu dengan bersama menggembleng usaha dan memberi ruang privasi kepada guru mencorakkan sendiri tanggungjawab mereka. Dengan cara ini ia akan dapat membantu guru lebih berdaya saing dan kurang tekanan. Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris, Ab Aziz Mohd Yatim, berkata tekanan terhadap komitmen tugas yang perlu dilaksanakan mengikut standard tertentu memungkinkan guru bertindak di luar batasan. Menurutnya, guru yang tidak sanggup lagi menerima tekanan boleh bertindak di luar kawalan termasuk melempiaskan kemarahan kepada pelajar tanpa disedari hingga mengakibatkan masalah lain. Dulu guru boleh mencorakkan cara pengajaran sendiri tanpa perlu memberi banyak komitmen terhadap tugasan lain. Berbanding sekarang, terlampau banyak kerja remeh temeh terpaksa dilakukan termasuk tugas dokumentasi yang perlu diserahkan kepada pihak tertentu.


Tekanan demi tekanan di samping tidak mendapat sokongan persekitaran menyebabkan segelintir guru akhirnya tertekan. Untuk menyalur atau meredakannya, mereka menzahirkan kepada golongan yang tidak mampu melawan dan kebiasaannya golongan pelajar menjadi pilihan. Tetapi ramai tidak prihatin terhadap masalah ini dan mebebankan segala tanggungjawab pada guru. Apatah lagi kebanyakan pelajar hari ini ‘tidak makan saman’ menyebabkan guru bagai terpaksa mengambil tindakan luar biasa untuk mengimbangi keadaan meskipun salah. Oleh itu guru yang berasakan diri bermasalah agar dengan rela hati bertemu kaunselor atau pihak bertauliah untuk meredakan tekanan dan mencari alternatif terbaik untuk mengawal diri.Tidak usah malu dan ketepikan persepsi buruk orang lain demi kebaikan diri sendiri.
Amat malang sekali imej guru yang selama ini dihormati tercalar gara-gara masalah yang boleh diselesaikan. Dalam hal ini, masyarakat atau pelajar tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya kerana mereka berhak untuk bersuara. Ini kerana matlamat utama pendidikan di Malaysia ialah untuk menampung keperluan tenaga kerja dan mencapai perpaduan negara melalui perkembangan individu yang bersepadu dan menyeluruh dari segi jasmani, emosi, rohani,intelek dan sosial (JERIS) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Bagi menyempurnakan hasrat FPK ini, para guru telah diamanahkan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik bukan sahaja dari segi penyebaran ilmu bahkan dalam pembentukan sahsiah anak didiknya. Generasi yang berilmu dan berakhlak tinggi dapat melahirkan bangsa yang bertamadun. Pihak pentadbir dan perancang sentiasa mengharapkan agar guru mempunyai cita-cita unggul iaitu membina masyarakat yang bertamadun tinggi.
Apabila FPK dihayati, guru harus sedar bahawa mereka sebenarnya memikul tanggungjawab yang amat berat. Guru perlu mencurahkan ilmu sama ada pelajarnya mahu atau tidak mahu menerimanya. Di samping itu, mereka harus peka dengan perubahan semasa dan menyesuaikannya secara bijak bagi menangani masalah pengajaran dan pembelajaran terutama yang berkaitan dengan disiplin pelajar. Pada amnya, guru perlu pakar atau profesional dalam segala bidang. Untuk menjadi guru yang profesional, seseorang guru itu harus menekankan tiga aspek penting dalam dirinya iaitu kepakaran, pengetahuan dan pembentukan sahsiah (Robiah, 1998).Mereka bukan sahaja berkemahiran mengajar dan mengembangkan ilmu, malah sikap, tingkah laku dan disiplin diri harus dibentuk ke arah profesional.
Kementerian Pendidikan telah berusaha sejak dari dahulu lagi untuk menjadikan bidang perguruan ini sebagai satu kerjaya yang profesional. Laporan Suruhanjaya Diraja Mengenai Perkhidmatan Perguruan Malaysia Barat (Laporan Aziz, 1971), telah mencadangkan supaya diadakan Etika Profesion Perguruan (EPP) bagi Pembentukan Tatasusila Guru. Semua guru yang telah memperolehi sijil perguruan perlu mematuhinya. Namun begitu sehingga ke hari ini kita masih lagi mendengar berita yang tidak menyenangkan baik dari segi tindakan atau hukuman terhadap pelajar yang melampau mahupun salah laku guru sendiri yang mencalar kewibawaan profesion perguruan ini. Dalam usaha untuk memastikan martabat pendidikan terus terpelihara dan tidak terpinggir dalam perubahan arus zaman, Etika Profesion Perguruan (EPP) harus dikaji semula (Najib, 1977). Pengamalan EPP di kalangan guru-guru adalah penting demi menjamin martabat profesion perguruan sentiasa dipandang mulia di mata masyarakat.
Kejayaan dan pencapaian matlamat pendidikan berkait rapat dengan kesedaran guru terhadap tanggungjawabnya sebagai pendidik selaras dengan EPP yang telah dimaktubkan dalam bentuk ikrar tercetak di halaman hadapan buku persediaan mengajar seperti berikut;

“Kami guru Malaysia, yakin bahawa tujuan utama pendidikan ialah berusaha
menuju ke arah pembentukan warganegara yang berilmu, yang taat setia, yang
bertanggungjawabdan berkebolehan....
.... dengan menyedari betapa besarnya tanggungjawab membimbing
anak muda untuk mencapai kemajuan sepenuh-penuhnya, maka dengan ini
kami menerima tatasusila berikut sebagai panduan.


Dari penyataan ikrar dan kod EPP di atas, guru sesungguhnya mempunyai beban yang berat untuk dijayakan. Sepanjang pengetahuan pengkaji, kajian mengenai pengalaman EPP di kalangan guru-guru di negara ini adalah terlalu sedikit. Pengkaji merasakan perlu meneruskan usaha ini bagi menambahkan hasil dapatan kajian. Hasil kajian ini kelak diharapkan dapat memberi gambaran terhadap amalan EPP di sekolah dan juga dapat mengenal pasti pelbagai usaha yang dapat membantu para guru mengamalkan EPP secara berterusan. Profesion keguruan adalah satu bentuk perkhidmatan sosial yang amat mencabar malah terdapat pelbagai tanggapan dan dakwaan berhubung profesion perguruan dewasa ini. EPP ini juga telah dicabar dengan perubahan drastik beban kerja guru sehinggakan ada yang melihat sekolah itu sebagai sebuah organisasi yang dihujani pelbagai bebanan tugas dan ada kalanya bentuk tugasan ini bukan yang terancang tapi sesuatu tidak terduga.
Pandangan sebegini pasti akan menyebabkan reputasi profesion perguruan yang sentiasa dipandang tinggi dan mulia akan terjejas. Guru sebagai profesion adalah seseorang yang tahu menghasilkan kerja bermutu tinggi dalam bidangnya serta sentiasa bersedia berkongsi kepakarannya di samping sentiasa berusaha memperbaiki dirinya. Matlamat kerjaya seorang guru ialah menghayati prinsip perkembangan yang berterusan. Impak daripada tugas yang dilaksanakan ternyata memberi sumbangan yang amat penting dalam pembangunan ekonomi dan masa depan generasi muda khususnya dalam konteks pembinaan modal insan. Seseorang guru perlu melalui beberapa peringkat dalam kerjayanya sebelum dapat mencapai ke tahap kepakaran atau kecemerlangan. Antara cabaran yang perlu ditangani para pendidik kini adalah untuk melahirkan masyarakat bersatu padu, berilmu pengetahuan dan berdaya saing. Ini kerana masyarakat kini bersifat dinamik dan progresif serta mula menyedari  bahawa pendidikan adalah alat penting untuk menjamin kesejahteraan hidup pada masa akan datang.
Pada asasnya profesion keguruan sejak dulu, kini dan selamanya adalah sama iaitu mengajar, mendidik serta merubah manusia yang bernama pelajar daripada keadaan tidak mengenal huruf, mengira dan membaca kepada celik huruf, bijak dan menjadi manusia berjaya. Tetapi kini pandangan masyarakat terhadap guru dan profesionnya mula berubah, jika dulu mereka dipandang tinggi tapi kini seakan-akan terpinggir. Perkembangan dan perubahan yang berlaku dalam bidang pendidikan hari ini menuntut perubahan perspektif masyarakat terhadap kerjaya ini.
Profesion keguruan tidak boleh dianggap sebagai satu kerjaya yang boleh diceburi sesiapa saja kerana hanya mereka mempunyai kualiti, berketerampilan, kewibawaan, kelayakan, minat. Iltizam, dan berjiwa pendidik layak menjadi guru.Di samping menuntut kesungguhan dan tanggungjawab guru dalam mengharungi cabaran di era globalisasi, pemantapan kebajikan dan kerjaya harus diberikan penekanan sewajarnya. Daoed Yoesoef (1980) menyatakan bahawa seorang guru mempunyai tiga tugas pokok iaitu tugas profesional, tugas manusiawi, dan tugas kemasyarakatan (sivic mission). Jika dikaitkan guru dengan kebudayaan, maka tugas pertama mereka adalah berkaitan dengan logik dan nilai estetika, tugas kedua dan ketiga berkaitan dengan etika. Tugas-tugas profesional dari seorang guru iaitu meneruskan atau transmisi ilmu pengetahuan, keterampilan dan nilai-nilai lain yang sejenis yang belum diketahui anak dan seharusnya diketahui oleh anak.
Tugas manusiawi adalah tugas-tugas membantu anak didik agar dapat memenuhi tugas-tugas utama dan manusia kelak dengan sebaik-baiknya. Tugas-tugas manusiawi itu adalah transformasi diri, identifikasi diri sendiri dan pengertian tentang diri sendiri.Usaha membantu kearah ini seharusnya diberikan penekanan terhadap pengertian bahawa manusia hidup dalam satu unit organik yang diintegrasikan untuk menjadi produk yang baik dan berguna untuk orang lain. Hal ini menunjukan tugas pertama dan kedua harus dilaksanakan secara menyeluruh dan tersepadu. Guru seharusnya melalui pendidikan ini dengan tenang dan mampu membantu pelajar untuk mengembangkan daya berfikir atau intelektual mereka sehingga mampu untuk menjadi kreatif dalam proses transformasi kebudayaan ke arah keadaban demi memperbaikikehidupnya sendiri dan kehidupan masyarakat sekelilingnya.
 Proses mendidik itu bukan saya terletak di bahu guru sahaja tetapi harus dilaksanakan secara bersama-sama dengan masyarakat untuk kehidupan yang lebih harmoni dan dinamik. Seorang guru itu tidak hanya mengajar di dalam kelas saja tetapi seorang guru harus mampu menjadi fasilitator, motivator dan dinamisator pembangunan mausia. Kesimpulannya beban kerja guru merupakan satu bentuk cabaran yang bakal melahirkan modal insan yang baik dan sempurna disamping itu guru juga memainkan peranan dalam mempengaruhi pengajaran dan pembelajaran. Personaliti seorang guru itu  sering menjadi perhatian pelajar-pelajar. Guru yang mempunyai sifat sabar yang tinggi, mesra, bertimbang rasa, kesediaan mendengar, kesediaan menerima kritikan, rajin, adil, periang dan berdedikasi akan mencerminkan personaliti diri seseorang guru itu untuk menjadi pendidik yang sejati.
Guru juga perlu mempunyai sifat yang kreatif dan inovatif bagi membolehkan guru mencapai prestasi yang tinggi. Sifat kreatif dan inovatif yang ada pada guru itu, akan mewujudkan pengajaran guru yang lebih menyeronokkan, diminati dan meninggalkan kesan kepada pelajar serta secara tidak langsung dapat mempengaruhi pelajar untuk terus belajar. Individu yang bergelar guru perlu sentiasa melakukan refleksi dan kritik-kendiri, fleksibel dalam pendekatan-pendekatan pengajaran dan pembelajaran dan perlu mempunyai semangat untuk mengajar pelajar. Selain  sering menjadi penilaian yang dibuat bersama oleh anggota masyarakat khasnya pelajar dan ibubapa.
 Ini kerana tekanan mental tidak akan memudaratkan seseorang sekiranya ditangani dengan hati yang tenang dan relaks. Analogi mudah bagi tekanan mental ialah “pengambilan vitamin”. Pada prinsipnya, tekanan mental sama seperti pengambilan vitamin. Pengambilan vitamin yang seimbang akan meningkatkan sistem immunisasi individu. Walaupun begitu, pengambilan vitamin yang berlebihan pula akan mendatangkan kesan sebaliknya! Begitu jugalah dengan tekanan mental kerana tekanan mental yang optimum akan memajukan seseorang tetapi tekanan mental yang terlampau akan membebankan dirinya. Ini kerana masa depan negara terletak di tangan warga pendidik.

Penderaan yang Dilakukan Oleh Guru Terhadap Pelajar Sekolah Ulasan Oleh : Intan Zarith Diana Bt Yahya



1.0       Artikel daripada laman web yang dipilih

Bukan era dera murid

Oleh:  Muhd Yusuf Abu Bakar dan Veena Rusli

KOTA KINABALU: Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengingatkan pendidik di seluruh negara, era guru bermaharajalela dengan bertindak sewenang-wenangnya termasuk mendera pelajar sudah lama berlalu.

Kementerian katanya, tidak pernah berkompromi dalam soal disiplin sama ada membabitkan guru atau pelajar. Tindakan sewajarnya tetap diambil terhadap pihak bersalah sekalipun harganya ialah kehilangan tenaga pendidik.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian 200 pelajar perempuan Tingkatan Satu hingga Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bawang Assan dekat Sibu, yang dihukum berendam di dalam kolam ikan yang kotor, selama satu jam, kerana kesalahan seorang daripada mereka membuang tuala wanita di dalam mangkuk tandas asrama perempuan sekolah itu, Rabu lalu.

Hishammuddin berkata, pendekatan memberi asuhan awal ketika golongan itu menjalani pengajian di institut pendidikan guru (IPG), dilihat sebagai senjata ampuh ke arah membentuk guru sandaran bangsa.

"Kita bukan sekadar memberi kemudahan infrastruktur tetapi turut menyuntik semangat supaya mereka menjadi guru yang boleh diharap kerana isu disiplin ada di mana-mana, tidak kiralah warden rendam murid, guru pukul murid atau murid pukul murid.

"Ini bukan masa menuding jari kerana kita mempunyai lebih 320,000 guru dan bukan semuanya baik macam malaikat.

"Kita akan ambil tindakan terhadap segelintir (yang mempunyai masalah disiplin) dan kalau mereka rasa boleh bermaharajalela, zaman itu dah berlalu," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Konvokesyen IPG Zon Sabah 2007 di Magellan Sutera di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang di Sibu itu, warden perempuan asrama sekolah itu mengarahkan pelajar berkenaan berendam sehingga ke paras leher di dalam kolam sebagai denda kerana kesalahan seorang daripada mereka yang enggan mengakui kesalahan membuang tuala wanita di dalam mangkuk tandas.

Pengerusi Persatuan Ibu bapa Guru (PIBG) sekolah itu, Jimmy Kiu yang kebetulan menyaksikan kejadian itu kesal dengan tindakan yang dianggap terlalu keras terhadap pelajar yang menghuni asrama sekolah berkenaan.

Katanya, warden sekolah itu bertindak demikian selepas mendapati tuala wanita ditinggalkan di dalam mangkuk tandas yang digunakan pelajar perempuan.

"Selepas disiasat, tiada pelajar mengaku membuang tuala wanita itu, menyebabkan warden itu mengarahkan semua pelajar itu berendam di dalam kolam walaupun ketika itu hujan dan kilat sabung-menyabung.

"Air kolam itu bertakung dan kotor, malah air dari kantin sekolah turut dialirkan ke kolam itu," katanya.

Jimmy berkata, selepas kejadian semua mangsa diberi amaran supaya tidak menghebohkan peristiwa berkenaan bagi mengelak dikenakan hukuman lebih berat.

"Akibat tindakan itu, ramai pelajar mengalami gatal-gatal dan demam, namum mereka tidak berani bersuara kerana takut," katanya kepada pemberita di sini, kelmarin.

Jimmy yang turut sempat merakam gambar kejadian itu berkata, dia mendedahkan perkara itu kerana tidak mahu pihak sekolah terus merahsiakan kejadian buruk berkenaan.

"Saya meminta Jabatan Pelajaran dan polis menyiasat kejadian itu," katanya, yang memaklumkan pelajar asrama itu dari kawasan yang jauh, terutama dari Sungai Pasin, Batang Lassa, Nanga Singat, Sungai Lengang, Sungai Belangan dan Tanjung Bekakap.

Jurucakap sekolah berkenaan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, pelajar sudah berkali-kali diberi amaran supaya tidak membuang tuala wanita ke dalam mangkuk tandas kerana ia menyebabkan tandas tersumbat.

Sementara itu, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri yang bertanggungjawab mengenai pendidikan, Datin Fatimah Abdullah mengarahkan Jabatan Pelajaran Sarawak melakukan siasatan segera mengenai kejadian berkenaan.

"Tidak wajar tindakan warden berkenaan dan siasatan menyeluruh perlu dilakukan kerana pihak sekolah sudah mempunyai garis panduan berhubung tindakan disiplin terhadap pelajarnya," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Bekas pengetua sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur itu, berkata, tindakan pelajar perempuan membuang tuala wanita ke dalam mangkuk tandas adalah salah namun hukuman kepada kesalahan itu tidak membolehkan mereka diarah berendam di dalam kolam ikan.

"Merendam pelajar ke dalam kolam yang kotor bukan peraturan dalam undang-undang disiplin sekolah berasrama.

"Hukuman itu boleh menyebabkan masalah kesihatan kepada pelajar kerana kolam itu kotor dan berlumpur," katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintendan Zamani Hamdan ketika dihubungi berkata, sehingga kini pihaknya masih belum menerima laporan mengenai kejadian berkenaan."


Portal Rasmi Pejabat Pelajaran Daerah Kerian



2.0       Ulasan artikel: Bukan era dera murid

2.1-Isu penderaan kanak- kanak

Berdasarkan artikel yang telah dipilih, isu yang diketengahkan oleh penulis ialah ialah isu penderaan yang berlaku dalam kalangan murid  di salah sebuah sekolah di Malaysia. Menurut Nor Shafrin Ahmad dalam Khaidir Hj.Ismail, el.al (2008), isu penderaan telah lama wujud dan menjadi masalah masyarakat di seluruh dunia. Di Amerika Syarikat, masalah penderaan dan penganiyaan kanak- kanak mula dikesan pada tahun 1962 apabila Dr. Kempe memperkenalkan “Sindrom Penderaan Kanak- kanak”. Menerusi laporan Henry Kempe ini, masalah penderaan mula menjadi isu dan persoalan sehingga mendapat perhatian beberapa pihak(Rosenfeld, 1982;Corby,2000).

Lima belas tahun kemudian, iaitu pada tahun 1977, perhatian meluas tentang penderaan mula menjadi fokus setelah ia berlaku secara melampau dan berleluasa. Menurut Farah (2004) dalam Khaidir Hj.Ismail el.al (2008), di Malaysia, isu penderaan mula diberi perhatian serius selepas kes penderaan fizikal seorang kanak- kanak bernama Balasundram. Kanak- kanak ini dijumpai mati dengan kesan penderaan teruk pada awal tahun 1990-an. Kini masalah penderaan kanak-kanak didapati semakin meningkat dan berlaku tanpa mengira sosio-ekonomi, agama, ideologi, umur dan jantina mangsa. Isu penderaan yang dibincangkan mula mendapat perhatian ramai. Menurut Dora (1988), dalam Khaidir Hj.Ismail el.al (2008), peningkatan bilangan kes penderaan terhadap kanak- kanak khususnya golongan murid di sekolah pada setiap tahun memberi kesedaran kepada ahli masyarakat dan golongan profesional bahawa tindakan segera perlu diambil. Keadaan ini adalah kerana isu penderaan memberikan gambaran kepada masalah sosial yang dihadapi oleh sesebuah negara. Implikasi mangsa dera dan gangguan emosi serta tingkah laku pendera secara tidak langsung menggambarkan negara kehilangan potensi individu maka sukarlah sesebuah negara membangun dan menjadi sebuah negara maju.


2.1.1- Jenis- jenis Penderaan

Menurut Khadijah& Ann(2003), dalam Khaidir Hj.Ismail (2008), terdapat tiga kategori utama jenis penderaan iaitu penderaan fizikal, penderaan seksual dan juga penderaan emosi. Jenis penderaan yang pertama iaitu penderaan fizikal melibatkan perlakuan yang dianggap salah dan berbahaya kepada kanak- kanak. Antara perlakuan ini ialah kanak- kanak disepak, dipukul, dicubit, dikepit, dirantai, dikurung, diikat, disimbah, cecair panas, dicucuh dengan api dan sebagainya. Khadijah & Ann (2003) dalam Khaidir Hj.Ismail (2008), mendefinisikan penderaan fizikal sebagai keganasan secara  fizikal yang boleh menyebabkan kecederan otak, lebam yang teruk, kecacatan anggota tubuh, retak, patah tulang, lecur atau terbakar, dicucuh dengan punting rokok dan sebagainya. Penderaan fizikal juga boleh membawa maut kepada dua kumpulan kanak- kanak iaitu cacat sejak dilahirkan dan kanak- kanak cacat akibat daripada penderaan tersebut.

Jenis penderaan yang kedua ialah penderaan seksual kanak- kanak melibatkan individu dewasa atau remaja sebagai pendera yang menggunakan kanak- kanak untuk kepuasan seksual. Kanak- kanak didedahkan dengan aktiviti seksual yang tidak difahami , tidak sesuai dengan umur dan perkembangan emosi. Kadangkala kanak- kanak dipaksa untuk melakukan aktiviti seksual atau melihat filem pornografi. Antara maksud asas penderaan seksual yang dikemukakan Riley (1991) dalam Khaidir Hj.Ismail el.al (2008),penderaan seksual diertikan sebagai ekshibiosionisme iaitu memperlihatkan organ genital, voyeurisme yang bermaksud mengintai aktiviti seksual dan kanak- kanak yang berbogel,fellatio yang bermaksud rangsangan oral kepada zakar, liwat iaitu penerobosan zakar melalui anal dan yang terakhir pederastry melibatkan pendera homoseksual dengan kanak- kanak.
Jenis   penderaan yang ketiga ialah penderaan emosi. Menurut Ramli (1990) dalam Khaidir Hj.Ramli( 2008), emosi merujuk kepada suasana perasaan yang menjadi pendorong utama dalam menentukan fikiran, sikap dan tingkah laku seseorang individu. Umpamanya perasaan riang, marah, bimbang, murung dan bersalah. Keadaan emosi yang berpanjangan pula disebutkan sebagai ‘mood’ atau rasa hati. Menurut Khadijah &Ann (2003), penderaan emosi merujuk kepada bentuk gangguan psikologi terutama dari segi mental dan emosi. Penderaan emosi juga merujuk kepada tingkah laku yang tidak memberi kasih sayang yang mencukupi atau membenci kanak- kanak tersebut, tidak menghiraukan, tidak melayan kerenah, pergaulan kanak-kanak disekat seperti tidak membenarkan mereka berkawan atau bermain dengan rakan-rakan lain, sering dimarahi,ditengking,ditakut-takuti, dan ahli keluarga lain bermusuhan atau memulaukan kanak-kanak terlibat.

 Menurut Kasmini (1997) dalam Akta Kebajikan Kanak-kanak di Kanada, penderaan emosi berlaku sekiranya terdapat gangguan mental dan emosi dalam kalangan kanak- kanak di samping gangguan tingkah laku seperti kemurungan, perasaan cemas,suka mengasingkan diri, mudah menjadi agresif  atau lambat perkembangan diri. Oleh yang demikian, melalui artikel yang bertajuk “ Bukan Era Dera Murid” yang mengetengahkan  kes seorang guru merendam 200 pelajar wanita di kolam ikan separas leher pada waktu hujan, dapatlah diklasifikasikan kes tersebut merupakan salah sebuah contoh kes penderaan jenis fizikal dan juga emosi. Rentetan daripada kes yang melibatkan pelajar- pelajar  asrama  perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Bawang Assan, Sibu, Sarawak ini, ibu bapa para para pelajar yang terlibat membuat aduan bahawa terdapat pelajar yang mengalami kegatalan pada kulit dan demam setelah menjalani ‘hukuman’ berendam dalam kolam ikan tersebut.



2.2- Penderaan guru terhadap pelajar di sekolah

Berdasarkan artikel yang telah dipilih melalui laman web rasmi kementerian iaitu Laman Web Portal Rasmi Pejabat Pelajaran Daerah Kerian, isu yang telah pilih untuk proses analisis dan ulasan ialah artikel yang bertajuk “Bukan Era Dera Murid” tulisan Muhd Yusuf Abu Bakar dan Veena Rusli.  Isu pelanggaran etika keguruan yang dicerminkan melalui kes-kes penderaan yang dilakukan oleh golongan penjawat awam yang bergelar guru bukanlah suatu perkara yang asing pada masa kini.  Isu penderaan dan penganiyaan terhadap murid ini kian meruncing dan sering dipaparkan di laman media cetak dan elektronik seperti akhbar, laman web portal rasmi dan juga weblog yang menjadi sumber maklumat kepada masyarakat. sehingga menyebabkan kredibliti insan yang bergelar guru pada hari ini dipandang rendah oleh segelintir masyarakat. Berdasarkan artikel yang telah dipilih, satu kes penderaan terhadap pelajar yang berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan Bawang Assan, Sibu, Sarawak pada bulan Julai tahun 2007  beberapa tahun yang lalu  jelas memperlihatkan betapa golongan pendidik yang wujud pada hari ini menunjukkan penurunan nilai akauntabiliti yang wajib ada pada seseorang guru.

Kes yang dilaporkan terjadi di negeri Sarawak ini melibatkan seorang guru yang merendam 200 pelajar wanita di kolam ikan separas leher pada waktu hujan dan kilat berikutan seorang daripada mereka enggan mengaku membuang tuala wanita ke dalam mangkuk tandas di asrama. Kes berkenaan mendapat liputan dan perhatian yang luas daripada pelbagai pihak termasuklah pihak Kementerian Pelajaran Malaysia yang amat memandang serius akan isu penderaan terhadap murid yang dilakukan oleh sebilangan guru. Dalam artikel berkenaan, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia yang diwakili Menteri Kementerian Pelajaran Malaysia  ketika itu iaitu Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mengingatkan golongan pendidik tidak boleh sewenag- wenangnya mendera murid dan menegaskan bahawa era mendera murid sudah lama berlalu. Ini bertepatan dengan intipati artikel keluaran akhbar Utusan Malaysia bertajuk “Merotan-guru dulu dan sekarang berbeza” yang menyatakan bahawa pada zaman dulu tidak ada peraturan menghalang guru daripada merotan pelajar nakal. Malah ibu bapa pada zaman tersebut, yang menghantar anaknya ke sekolah menyerah bulat- bulat kepada guru untuk mendidik anak masing-masing. Senario ini jelas mencerminkan betapa terdapatnya perbezaan tanggungjawab sebagai seorang guru pada masa dahulu. Justeru, apa yang dapat dilihat di sini ialah keadaan pada masa sekarang amat berbeza dengan apa yang dihadapi oleh guru pada zaman dahulu. Setiap tindakan dan kelakuan guru diperhatikan masyarakat dan apa yang paling dibimbangkan ialah tindakan yang bercorak emosi akan mengatasi kewarasan dan rasional apabila guru mengenakan denda terhadap murid.

Berdasarkan artikel bertajuk “Hentikan dera,raih penghormatan murid” keluaran majalah Pendidik, terdapat banyak lagi berita kes-kes penderaan yang menunjukkan golongan guru yang terdapat di sekolah- sekolah hari ini tidak bersikap profesional semasa menjalankan tugas dan lebih menuruti tuntutan emosi  semata-mata. Kes-kes penderaan terhadap pelajar ini dapat dilihat berdasarkan kes-kes seperti di Kuala Nerang iaitu seorang guru bertindak mengetuk kasut tumit di kepala tiga orang murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Padang Sanai, Kedah gara-gara murid-murid tersebut dikatakan tidak membawa buku latihan Bahasa Inggeris. Kes lain yang melibatkan isu penderaan ini turut dapat dilihat dalam kes yang melibatkan guru di Alor Setar yang menendang, menumbuk kepala dan menghentakkan kepala seorang pelajar ke papan hitam selepas  berang kerana pelajar tersebut bertanyakan resit bayaran yuran.

Berdasarkan artikel akhbar Berita Harian yang bertajuk “Dilema guru tangani disiplin pelajar,” cara guru dahulu menangani masalah disiplin pelajar di sekolah mereka dengan menggunakan rotan, tetapi tindakan mereka itu tidak pula menjadi isu besar sehingga mencetuskan perdebatan menerusi media. Menurut artikel ini lagi, masa yang berubah turut menyebabkan penerimaan masyarakat juga turut berubah. Justeru itu, nasib guru sekarang juga berbeza. Jika guru sekarang juga menggunakan pendekatan berbentuk dendaan yang sama, mereka bukan saja boleh dikenakan tindakan disiplin, alah tindakan mereka turut didedahkan kepada umum dan malangnya guru seringkali dipersalahkan dan dipandang serong oleh masyarakat. Dalam keadaan inilah, seseorang guru itu akan berada dalam dilema. Jika mereka tidak bertegas dengan kes-kes disiplin yang melibatkan pelajar di sekolah, golongan guru juga yang akan menjadi sasaran cemuhan masyarakat.

Namun begitu, dalam konteks penderaan terhadap pelajar ini, tidak boleh dinafikan, sememangnya terdapat segelintir guru yang mengambil tindakan melampau ke atas pelajar yang melanggari peraturan sekolah atau melakukan kes salah laku di sekolah. Bagi kes penderaan pelajar oleh guru yang bertindak merendam 200 pelajar di dalam kolam ikan di sekolah, sememangnya wajar guru berkenaan disiasat dan dikenakan tindakan tatatertib yang setimpal dengan tindakan guru tersebut yang menyalahi tatasusila profesion keguruan  di Malaysia ini. Tatasusila Profesion Keguruan yang seharusnya menjadi panduan kepada seseorang guru menggariskan bahawa seseorang guru itu mempunyai tanggungjawab terhadap pelajar. Tanggungjawab guru terhadap pelajar termasuklah mengutamakan kebajikan dan keselamatan pelajar daripada hal-hal lain. Dalam kes yang dipaparkan dalam artikel berkenaan, jelas ia mempamerkan bahawa guru berkenaan tidak bertanggungjawab terhadap para pelajar yang menjadi amanah beliau yang turut bertugas sebagai warden di sekolah berkenaan.

Tanggungjawab seseorang guru juga turut mencakupi aspek cara pertuturan, tingkah laku dan sikap yang mampu memberikan contoh yang baik kepada pelajar. Melalui garis panduan Tatasusila Profesion Keguruan yang telah dinyatakan ini, jelas sekali menunjukkan guru tersebut tidak menjadikan etika tatasusila profesion keguruan ini sebagai asas utama dalam mendidik para pelajar di sekolah. Walau apa sekalipun masalah atau kes salah laku yang dilakukan oleh pelajar, guru tersebut seharusnya berpegang teguh kepada prinsip dan etika sebagai seorang guru yang harus bertanggungjawab terhadap para pelajarnya.

3.0       Pentadbiran Undang-Undang Dalam Pendidikan


Melalui artikel yang dikupas bertajuk “Bukan Era Dera Murid”, dapat dilihat bahawa guru yang mengenakan dendaan yang lebih cenderung kepada  ‘deraan’ terhadap pelajar tidak mempunyai pengetahuan yang kukuh dari aspek pentadbiran undang- undang dalam pendidikan. Hal ini menurut Ismail Othman (2006), berdasarkan kepada pengertian  Legal Literacy, para pendidik, pengetua, guru besar dan pegawai perkhidmatan pendidikan yang lain sentiasa terdedah kepada keadaan yang boleh menyebabkan mereka melanggar peraturan dan undang-undang pendidikan. Hal ini ialah kerana ada dalam kalangan golongan pendidik ini yang tidak faham atau tidak tahu tentang adanya peraturan dan undang-undang dalam pendidikan. Situasi seperti inilah yang menyebabkan kadang-kadang mereka terperangkap dengan arahan-arahan yang bertentangan dengan undang-undang pendidikan. Keadaan seperi ini memberikan implikasi yang serius terhadap cara pengurusan disiplin pihak pentadbiran dan juga guru di sekolah yang berkenaan kerana wujudnya golongan pendidik seperti ini yang tidak peka dengan peraturan-peraturan yang sedia ada sehingga mengambil tindakan yang tidak sepatutnya dengan alasan memberikan hukuman atau dendaan terhadap pelajar yang melakukan kesalahan.

Senario seperti inilah yang menyebabkan banyak kes penderaan yang dilakukan oleh guru terhadap pelajar sekolah atas alasan kononya guru memberikan dendaan atau hukuman untuk ‘mendidik’ pelajar. Laporan pelbagai kes yang melibatkan penderaan terhadap para pelajar oleh guru-guru ini telah mengheret guru-guru ke mahkamah kerana proses ‘mendidik’ yang lebih cenderung kapada sikap berbentuk penderaan yang dilakukan oleh guru terhadap para pelajar. Oleh yang demikian, seseorang guru yang berkhidmat dalam arena pendidikan ini haruslah peka dan sentiasa mengambil tahu perkembangan undang-undang dalam pendidikan yang terdapat di Malaysia ini. Golongan pendidik hari ini harus sedar bahawa sekolah tempat mereka bekerja merupakan lokasi atau tempat yang mempunyai pelajar yang terdiri daripada pelajar yang datang daripada pelbagai ragam dan juga budaya. Ini mencetuskan suasana sekolah yang penuh dengan tingkah laku manusia yang berbeza. Justeru itu, tindakan atau keputusan yang diambil oleh guru atau pihak sekolah terutamanya dalam aspek oengurusan disiplin pelajar haruslah bertepatan dengan buku panduan dan surat- surat pekelililng ikhtisas yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan.


 3.1-Undang-undang Dalam Pendidikan
     Bagi Pengurusan Disiplin Pelajar Oleh Guru


Menurut Mohd. Ismail Othman (2006), pengurusan disiplin pelajar yang melibatkan kawalan disiplin pelajar oleh pihak sekolah melibatkan tiga aspek tindakan yang berikut iaitu penyediaan asas-asas kawalan tatatertib terutama sekali penentuan kesalahan tatatertib,perlaksanaan proses tatatertib dan mengenakan hukuman tatatertib. Menurut beliau lagi, system pengurusan disiplin yang baik haruslah berpandukan kepada peraturan- peraturan yang ditetapkan oleh kementerian Pendidikan melalui pekelililing- pekeliling ikhtisas yang dikeluarkan dari semasa ke semasa. Sebagai contoh, ‘Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.18/1998:Penggunaan Budi Bicara Ketika Mengambil Tindakan’.

“Dalam menggunakan kuasa, budi bicara, pertimbangan dan perhatian hendaklah diberikan kepada ketepatan membuat keputusan, di samping bersikap terbuka, bersedia mendengar pandangan dan tidak bersikap defensif. Perundingan hendaklah dilakukan dengan penuh hemah, berdiplomasi dan dilakukan dalam suasana yang harmonis.”


Melalui kenyataan pekeliling ini, ia jelas menggambarkan betapa proses memberikan dendaan dan hukuman kepada pelajar bukanlah semudah yang disangka. Proses menentu dan memberikan hukuman dimulakan dengan langkah pertama yang harus diambil oleh seseorang  pengetua ke atas seorang pelajar yang melanggar disiplin sekolah adalah menerima aduan. Adalah menjadi tanggungjawab pengetua untuk menerima aduan bagi  memastikan kebenaran aduan itu samada kes itu bersabit ataupun tidak.Jika ada maklumat yang bercanggah, pengetua perlu membuat siasatan sehingga terdapat bukti yang cukup bagi menentukan kebenaran tuduhan. Langkah yang seterusnya ialah pengetua perlulah mendapat kesimpulan daripada bukti-bukti bagi menjawab kes yang bersabit. Sebelum menentukan hukuman, peluang yang secukupnya hendaklah diberikan kepada pelajar supaya pelajar dapat membela diri. Langkah seterusnya adalah pelajar perlu member sebab jika pelajar tersebut menafikan kesalahannya.

Berdasarkan langkah-langkah ini, pihak pengurusan disiplin sekolah yang melibatkan guru- guru dan juga pengetua perlu melalui prosedur yang tertentu sebelum memeberikan hukuman terhadap sesuatu kesalahan yang dilakukan oleh pelajar. Justeru itu, pihak sekolah dan juga guru tidak boleh sewenang-wenangnya mengenakan hukuman dan denda kepada pelajar. Sebagai contoh, dendaan merotan semasa perhimpunan atau Public Canning boleh dilaksanakan berdasarkan kepada peruntukan dalam Ordinan Pelajaran 1957, Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin) 1959 yang menjelaskan kuasa guru besar berkenaan merotan berbunyi:

“Bagi maksud menjaga disiplin di kalangan murid-murid, guru besar
Hendaklah mempunyai kuasa menjalankan hukuman-hukuman sekolah yang biasa sebagaimana perlu atau bermanfaat”










Perlaksanaan dendaan rotan ini boleh dilaksanakan dengan syarat bahawa;

a.    hukuman dera kepada murid-murid perempuan adalah dilarang; dan
b.    hukuman dera kepada murid-murid lelaki oleh seseorang guru atau lain-lain kakitangan sekolah adalah dihadkan kepada merotan dengan rotanyang ringan ditapak tangan ataupun di punggung yang berlapik dengan pakaian dan hendaklah dijalankan hanya oleh guru besar dengan kuasa nyata yang diberi olehnya dalam hal yang tertentu.

Peraturan tersebut juga ada menyatakan bahawa pihak sekolah tidak boleh menggunakan perhimpunan itu sebagai tempat untuk menjalankan hukuman kepada murid-murid mencaci, menghasut atau mengambil sebarang tindakan yang boleh memalukan seseorang murid atau lain-lain pihak.  Melalui peraturan ini jelaslah bahawa seseorang guru yang bertugas di sekolah tidak boleh mengenakan dendaan atau hukuman yang bersifat deraan kepada pelajar kerana ia sememangnya sudah termaktub dalam Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin) 1959. Dalam kes yang dikupas berkaitan guru yang merendam 200 pelajar di dalam kolam ikan ini, ia jelas menunjukkan tindakan tersebut melanggar  peraturan-peraturan seperti yang telah dinyatakan.

Isu yang dilihat cuba dikupas oleh penulis artikel ini ialah isu pelanggaran Etika dan juga Tatasusila Profesion Keguruan itu sendiri  melalui pandangan pelbagai individu di Kementerian Pelajaran Malaysia yang memandang tindakan guru tersebut sebagai tidak wajar dan bukanlah satu tindakan yang menepati etika keguruan. Menurut Mok Soon Sang (1995), etika ialah suatu sistem dasar akhlak dan tingkah laku bagi sesuatu kumpulan manusia atau organisasi. Sistem dasar ini meliputi aspek-aspek morak yang baik dan yang buruk, serta yang betul dan yang salah.




Artikel yang dianalisis juga menjelaskan isi tersirat yang terkandung di dalamnya bahawa sikap profesional seharusnya ada pada seseorang guru sewaktu menjalankan tugas. Ini bertepatan dengan pernyataan Syed Ismail Bin Syed Mustafa & Ahmad Subki Bin Miskon (2010), seseorang guru yang profesional haruslah membuat keputusan dan tindakan yang tepat dan tidak mengikut kehendak emosi semata-mata. Guru yang profesional juga perlu memiliki rasa malu dan rasa takut. Hal ini bermaksud, seseorang guru perlu berasa malu iaitu malu untuk melakukan perbuatan yang salah. Sementara itu, rasa takut pula adalah takut akibat daripada perbuatan salah yang kita lakukan. Dengan memiliki kedua-dua sifat ini, perbuatan dan sikap seseorang insan yang bergelar guru akan lebih mudah dikendalikan dan dipertimbangkan kesan buruk baik akibat daripada perbuatan tersebut.


4.0       Kesimpulan

Menurut Syed Ismail Bin Syed Mustafa&Ahmad Subki Bin Miskon (2010), akauntabiliti bermaksud sesuatu kerja, tugas, janji dan lain- lain yang mesti dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab. Seseorang penjawat awam yang telah dilantik dan diberikan tanggungjawab dalam melakukan sesuatu tugas hendaklah menjalankan tugas tersebut dengan amanah. Justeru itu, dalam konteks isu penderaan yang semakin berleluasa dalam arena pendidikan di sekolah ini, guru yang diberikan tugas mendidik hendaklah melaksanakan tugas sebagai pemegang amanah mendidik rakyat Malaysia dengan cemerlang dan bertanggungjawab. Menurut Ishak Saat (2009),martabat profesion keguruan boleh didefinisikan sebagai darjat atau pangkat dalam bidang pekerjaan yang memerlukan pendidikan, kecekapan dan kemahiran yang tinggi dalam hal berkaitan tugas dan tanggungjawab guru. Justeru itu, peranan dan tugas sebagai guru hendaklah dijalankan dengan profesional dan pada masa yang sama mengangkat martabat profesion keguruan itu sendiri.

 Menurut beliau lagi guru yang berkualiti dalam bidang keguruan ini juga mempunyai kualiti yang tinggi dari aspek kerohanian. Guru yang berkaualiti kerohaniannya memiliki sifat-sifat berikut, memiliki sahsiah atau tingkah laku yang baik dan terpuji. Antara ciri-ciri seorang guru yang bersahsiah dan terpuji ialah menjalankan tugas dengan tepat, menghormati rakan guru dan juga para pelajar. Kesimpulannya, nilai tara sahsiah atau tingkah laku yang baik ini terkandung dalam Etika dan Tatasusila Profesion Keguruan yang seharusnya menjadi pedoman dan asas kepada guru mengatur langkah dan arah sebagai guru dalam bidang pendidikan ini. Peranan dan tugas sebagai seorang guru perlu dihayati dan difahami dengan baik oleh insan yang bergelar guru dalam erti kata yang sebenar. Seorang individu yang bergelar guru haruslah membuat keputusan yang tepat, berasas dan tidak melakukan tindakan secara membuta tuli terutamanya apabila melibatkan pelajar dan juga pihak sekolah. 

Sunday, September 2, 2012

Gejala Sosial Dan Peranan Profesionalisme Guru Ulasan Oleh : Siti Nazirah Bt Jaafar


1.0 Pengenalan      
Memetik penulisan dalam satu artikel iaitu

“ Saban hari ada sahaja ceritera kurang enak yang didengari mengenai salah laku remaja. Seolah-olah menunjukkan permasalahan tersebut bagai tiada berpenghujung. Buang anak, lari dari rumah, penagihan dadah, seks bebas, seks songsang, derhaka kepada ibu bapa, gangsterisme dan ponteng sekolah sering menjadi tajuk-tajuk dalam laporan media. Walaupun sering diperkatakan, isu gejala social masih juga tidak berkesudahan. Segala usaha yang diambil seolah-olah mencurah air ke daun keladi apabila isu ini dilihat semakin meruncing.
Sumber : Artikel Utusan Malaysia Online, bertarikh 3/42012

Dalam pada itu, terdapat kes yang merekodkan murid tahun satu cederah parah ditikam di sekolahnya. Dia turut dipukul dengan kayu dan dibaling dengan batu oleh sekumpulan murid lelaki, dipercayai rakan sekolahnya kerana enggan memberikan mereka wang RM10 ( Utusan Malaysia, 2000 ). Kebejatan gejala sosial dalam kalangan anak muda sudah menjadi satu isu dalam masyarakat bahawa anak-anak muda merupakan golongan yang sering terlibat dalam gejala sosial. . Apa yang pasti gejala sosial dikatakan sering berlaku dalam kalangan anak-anak muda kerana mereka beralih daripada zaman kanak-kanak ke alam dewasa. Keadaan ini mempengaruhi kehidupan seharian mereka di rumah dan hal ini akan terbawa-bawa ke sekolah.

Gejala merupakan tanda, alamat, petanda akan berlaku sesuatu. Manakala sosial merupakan perkara yang berkaitan dengan masyarakat. Umumnya, sosial ialah interaksi. Dalam situasi kemasyarakatan, aktiviti sosial antara masyarakat merupakan satu perkara yang positif namun begitu gejala sosial merupakan satu wabak yang perlu ditanggani daripada awal pembangunan anak-anak. Gejala sosial dibahagikan kepada beberapa aspek iaitu devian ( sikap melampaui batas ), delikuensi ( tingkah laku yang bertentangan dengan norma masyarakat ).



2.0 Gejala Sosial Dalam Kalangan Pelajar Sekolah

Menurut pakar perkembangan kanak-kanak Bronfenbrenner, menjelaskan dalam teori perkembangan kanak-kanak bahawa perkembangan kanak-kanak dipengaruhi oleh persekitaran. Dalam teori ekologi yang diperkenalkan oleh Bronfenbrenner, persekitatan rumah merupakan persekitaran yang paling dekat dengan anak di mana  ia mengandungi nilai-nilai, pengawalan, tradisi yang memainkan peranan penting sebagi agen pembangunan dalam pembangunan kanak-kanak ( Zahyah Hanafi, 2008 ).

Mumtaj Hassan dari Fakulti Pengurusan Awam dan Undang-Undang , UUM dalam artikel bertajuk Kanak-Kanak dan Jenayah : Pendekatan Akta Kanak-Kanak 2001 menyatakan bahawa sebenarnya banyak faktor yang mempengaruhi seseorang kanak-kanak itu untuk melakukan kesalahan yang bersifat jenayah. Antaranya termasuklah faktor kurangnya pendidikan agama, longgarnya institusi kekeluargaan, pengaruh negatif rakan sebaya, kesan persekitaran yang tidak sihat, naluri ingin mencuba, pengaruh media massa dan sebagainya. Dalam pada itu, Mohd Reduan Aslie ( 2009 ) menjelaskan dalam ilmu kriminologi kecenderungan seseorang melakukan kesalahan bermula daripada zaman kanak-kanak. Apa yang dapat dikesan disini ialah, gejala sosial yang berlaku berleluasa pada masa kini dilihat tiada penghujungnya. Menurut kajian yang dijalankan oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan , Kementerian Pendidikan kadar jenayah dalam kalangan pelajar meningkat secara drastik malah budaya gengsterisme berada di tahap yang membimbangkan ( Abdullah Sani Yahaya, 2005 ). Berikut merupakan fakta berkaitan gengsterisme yang berlaku di sekolah-sekolah seluruh negara :


Negeri
Bilangan Sekolah
Selangor
77 buah
Perak
60 buah
Pulau Pinang
49 buah
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kelantan & Sabah.
37 buah
Pahang
35 buah
Kedah
32 buah
Negeri Sembilan
14 buah
Melaka
10 buah
Terengganu
8 buah
Perlis & Sarawak
6 buah
Jumlah
328 buah
Dipetik daripada Abdullah Sani Yahaya, 2005 : Mengurus Disiplin Pelajar.
Jadual 1 : Statistik menunjukkan bilangan sekolah di seluruh Malaysia yang berisiko tinggi dan terdedah kepada kegiatan gengsterisme.

Berdasarkan statistik yang dinyatakan, secara jelas menunjukkan bahawa kegiatan gengsterisme yang sering berlaku di Kuala Lumpur, Hong Kong, negara Colombia, Mexico sebaliknya ia berlaku di sekolah-sekolah di seluruh Malaysia. Keadaan ini menjelaskan bahawa walaupun sekolah menjadi pusat kegiatan akademik bagi remaja namun mereka masih terdedah dengan gejala negatif seperti gengsterisme.  Sekolah yang diharapkan sebagai tempat yang kondusif untuk belejar akan menjadi sebaliknya.

Selain itu, kegiatan buli yang popular di sekolah ialah sewaktu minggu suai kenal. Che Surahaya Che Wil, 2006 dalam Juvana menyatakan bahawa terdapat unsur-unsur buli sewaktu minggu suai kenal. Namun, kegiatan ini dianggap biasa kerana hukuman yang dikenakan kepada pelajar baharu adalah ringan sahaja. Terdapat beberapa kes dari awal tahun 2006 hingga 2010 yanng menunjukkan mangsa buli koma, lumpuh malah ada yang menyebabkan kematian. Contoh mangsa buli ialah adik Mohd Afiq Qusyairi, 13 tahun dari SMA Almaidah Addiriah, Padang Tengku, Lipis, Pahang yang lumpuh kerana dipukul oleh empat belas pelajar. Malah, terdapat beberapa kes yang dicatatkan setiap tahun. 

Kes gengsterisme dan buli merupakan antara salah satu di antara pelbagai masalah sosial yang berlaku dalam kalangan remaja. Terdapat pelbagai lagi isu sosial yang berlaku dalam kalangan remaja. Persoalan kini ialah adakah tugas guru yang semakin membebankan dan autoriti kepada murid yang terhad menyebabkan gejala sosial ini tidak dapat dibendung. Malah, ada pihak yang menunding jari kepada profesion perguruan yang dikatakan tidak menyeluruh dalam melahirkan anak murid yang berkualiti. Apa yang penting, profesion perguruan sebenarnya telah mempunyai garis panduan kepada guru untuk membentuk budaya kerja yang lebih cemerlang dan melahirkan klien ( murid-murid ) yang seimbang seperti yang telah digariskan oleh Falsafah Pendidikan Negara. Malah, profesion ini juga mempunyai Falsafah Guru sendiri dalam membentuk klien yakni anak murid yang berkualiti.


3.0 Peranan Profesionalisme Guru Membendung Gejala Sosial Remaja

Menurut Abd Rahim Abd Rashid ( 2001 ), masalah keruntuhan moral di kalangan generasi muda dewasa ini amat membimbangkan dan mencabar peranan sistem pendidikan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial dan moral kepada masyarakat. Tambah beliau lagi tanpa mempunyai wawasan moral yang kuat, sekolah dan sistem pendidikan di negara ini tidak mungkin dapat melaksanakan wawasan dan misi perjuangan ke arah membentuk golongan muda yang berhemah dan bermoral.   Perkara ini jelas menunjukkan bahawa, dalam cabaran globalisasi kini, guru berperanan penting dalam membentuk dan mengukuhkan jati diri di anak murid di sekolah.

Richard Layard ( 2009 ), menyatakan bahawa pada masa kini bagi perkembangan yang baik, anak-anak memerlukan aspek berikut iaitu keluarga bahagia, gaya hidup positif, nilai-nilai baik, persekitaran sekolah yang baik, kesihatan mental yang baik dan wang yang mencukupi untuk hidup dalam kalangan rakan-rakan mereka tanpa rasa malu. Walaubagaimanapun, untuk memberikan kesemua di atas adalah suatu cabaran masyarakat terhadap anak-anak kini.Namun begitu gejala sosial yang berlaku dalam kalangan remaja menjadi persoalan kepada masyakat kini, banyak pihak yang menunding jari kepada sistem pendidikan negara disebabkan oleh masalah ini. Akibatnya, terdapat pihak yang merasakan sistem pendidikan negara mempunyai kelemahan dalam melahirkan generasi yang berkualiti. Memetik ulasan dari artikel yang sama iaitu

"Sikap guru yang lebih menumpukan perhatian kepada pelajar cemerlang juga tidak sepatutnya berlaku kerana ia akan membuatkan pelajar yang lemah semakin rasa tersisih. Sepatutnya perhatian harus diberikan kepada pelajar yang lemah dan bermasalah kerana guru adalah pengganti ibu bapa di sekolah”.
Sumber : Artikel Utusan Malaysia Online, bertarikh 3/42012

Hal ini jelas menunjukkan bahawa terdapat segelintir pihak yang merasakan sistem pendidikan negara tidak lagi mampu mengembangkan potensi pelajar seperti mana yang diharapkan oleh Falsafah Pendidikan Negara. Hal ini kerana, berikutan era globalisasi kini, pelbagai implikasi positif berlaku terhadap institusi pendidikan negara. Seiring itu, kesan negatif juga berlaku seiring pembangunan yang dikecapi. Menurut Nik Azis Nik Pa & Noraini Idris ( 2008 ), cabaran kritikal yang dihadapai oleh institusi pendidikan negara ialah untuk meningkatkan kualiti institusi pendidikan secara menyeluruh bagi mengekalkan keyakinan rakyat pada tahap yang lebih tinggi terhadap kecermelangan institusi tersebut. Kualiti pendidikan yang ditawarkan dan status institusi pendidikan tidak dapat disembunyikan daripada pengetahuan umum kerana ada pihak yang membuat perbandingan dan penarafan institusi pendidikan secara gobal dan menyebarkan maklumat tersebut dengan meluas. Ahli pendidik mendapati bahawa, murid yang berkebolehan untuk membuat pilihan sendiri akan menjadi anggota masyarakat yang lebih produktif. Manakala Durkheim, Facouner dan Schnurer dalam Nik Azis Nik Pa& Noraini Idris ( 2008 ),  perkembangan moral yang menjadi fokus pendidikan moral bergantung kepada pengalaman hidup yang bermakna, sama seperti perkembangan kognitif atau fizikal. Ahli pendidik moral mendapati bahawa perkembangan moral adalah satu aspek penting bagi perkembangan hidup manusia dan perkembangan tersebut bergantung kepada wawasan individu dan interaksi sosial.

Shaffer dalam Nik Azis Nik Pa & Noraini Idris ( 2008 ),  menegaskan bahawa kanak-kanak yang terdedah kepada pelbagai jenis pengalaman pembelajaran dalam konteks keluarga dan komuniti akan mempunyai peluang untuk membezakan perkara baik daripada perkara buruk pada tahap yang abstrak dan kompleks secara progresif. Nik Azis Nik Pa & Noraini Idris ( 2008 ), menjelaskan dalam negara kita matlamat keseluruhan program Pendidikan Moral adalah untuk melahirkan individu yang memahami, menerima dan mempraktikkan peranan mereka sebagai warganegara yang bertanggungjawab selaras dengan nilai murni masyarakat Malaysia.

            Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi mengariskan beberapa cabaran yang perlu dimatapkan antaranya ialah melahirkan sumber manusia yang berkualiti. Guru yang terlatih dan mempunyai ciri-ciri yang dikehendaki akan dapat melahirkan budaya pendidikan yang berkualiti.Menurut Syed Ismail Bin Syed Mustafa & Ahmad Subki Bin Miskon ( 2012 ), para guru perlu sedar bahawa mereka sebenarnya memikul satu akauntabiliti yang besar. Tanggungjawab guru pada masa kini, bukan sahaja untuk mengajar mengikut sukatan yang ditetapkan, tetapi guru perlu mendidik dan peka dengan perubahan-perubahan yang melanda dalam dunia pendidikan masa kini. Sehubungan itu, sebagai seorang guru yakni penjawat awam kementerian telah mengeluarkan arahan perkhidmatan ( 1974 ) menghendaki seseorang pegawai awam sentiasa bersikap adil dan saksama terhadap orang ramai dan memberi mereka layanan yang teratur dan memuaskan. Dalam satu etika profesion perguruan, antaranya ialah guru mempunyai akuntabiliti kepada murid. Dalam hal ini, akuntabiliti telah mengariskan panduan kepada guru bahawa setiap guru perlu lebih mengutamakan kebajikan dan keselamatan murid daripada hal-hal lain. Mengulas lanjut kenyataan Syed Ismail Bin Syed Mustafa & Ahmad Subki Bin Miskon ( 2012 ) berkaitan akuntabiliti guru untuk melahirkan murid yang seimbang selaras dengan kehendak FPN, guru perlu bersikap adil terhadap setiap orang murid tanpa mengira fakor jasmani, mental, emosi, politik, eknomi, social, keturunan atau agama.

            Beck ( 1990 ) mebincangkan peranan penting sekolah termasuklah memupuk nilai-nilai yang baik untuk mencorak perkembangan sosial, moral, kerohanian dan perkembangan personal pelajar. Keadaan ini sejajar dengan matlamat pendidikan iaitu untuk melahirkan kehidupan dan pengamalan nilai-nilai yang sihat dalam diri pelajar. Mengikut Beck, banyak faktor yang masih lagi membelenggu nilai-nilai di sekolah seperti bias terhadap agama, kaum, etnik, seks dan juga gender. Reformasi perlu berlaku dalam pendidikan dan di sekolah bagi mencorakkan perubahan hala tuju masyarakat yang lebih baik.

            Mengulas hal ini, cabaran guru pada masa kini ialah untuk mengenepikan unsur-unsur perbezaan murid dan memberikan yang terbaik untuk melahirkan generasi yang mempunyai jati diri untuk mengekang masalah sosial yang berlaku dalam kalangan remaja. Hal ini kerana, guru yang memberikan layanan yang berbeza-beza akan menyebabkan anak murid rasa tersisih. Perasaan ini akan mewujudkan jurang antara pelajar yang diberikan sering diberikan perhatian dengan pelajar yang tidak mendapat hak yang sepatutnya. Syed Ismail Bin Syed Mustafa & Ahmad Subki Bin Miskon ( 2012 ) menyatakan kajian keciciran telah menunjukkan bahawa keluarga yang miskin merupakan keluarga yang kurang moden dan rendah pula motivasi pendidikannya. Dalam hubungan ini, jika mereka tidak diberi layanan yang sama rata, maka sudah tentulah pendapaian mereka akan terjejas. Motivasi murid yang rendah akan menjejaskan dorongan murid-murid untuk belajar dengan tekun. Ini akan menyebabkan pencapaian persekolahan juga terjejas.

            Apa yang lebih membimbangkan ialah, murid-murid yang mengambil jalan mudah dengan menjauhkan diri daripada sekolah dengan ponteng sekolah. Gejala ponteng menyumbang kepada peningkatan gejala sosial dalam kalangan anak muda. Ponteng sekolah membawa maksud kegiatan menjauhkan diri daripada sekolah tanpa keizinan guru atau ibu bapa. Punca ponteng sekolah dalam kalangan pelajar ialah malas, sengaja tidak mahu datang sekolah, guru berleter, peras ugut, kemiskinan rumah tangga, tidak siap kerja yang diberikan guru, disiplin yang ketat di sekolah dan lain-lain lagi ( Abdullah Sani Yahaya, 2005 ).

            Sehubungan itu, guru perlu menjalankan pendekatan ‘kepedulian guru’ apabila berhadapan dengan masalah murid. Hal  ini kerana, tugas utama guru ialah untuk mendidik anak murid. Pendekatan kepedulian guru sangat penting dalam mendapatkan kepercayaan anak murid dan mendekatkan perhubungan antara guru dan murid. Kepedulian merupakan kesanggupan seseorang untuk bekorban demi orang lain. Kepedulian didefinisikan sebagai mengambil berat terhadap orang lain. Dalam konteks guru, setiap guru perlu mempunyai sifat kepedulian untuk menghadapi murid dalam kelas. Hal ini kerana, murid akan merasakan bahawa guru sentiasa dekat dan menjaga hati guru yang peduli terhadap masalah mereka. Dengan ini, hubungan yang kondusif dalam kelas akan mewujudkan interaksi dua hala antara guru dan murid. Malah, suasana yang kondusif ini akan dapat membantu guru mencapai objektif pembelajaran dan pengajaran dalam kelas. Noddings dalam Syed Ismail Bin Syed Mustafa & Ahmad Subki Bin Miskon ( 2012 ) menjelaskan pendidikan merupakan medium perantaraan untuk mengembangkan perasaan kasih sayang dalam masyarakat. Melalui pendidikan, beliau menjelaskan bahawa perjumpaan dirancang atau tidak dirancang menggalakkan perkembangan melalui penimbaan ilmu pengetahuan, kemahiran, pemahaman dan penghargaan. Jelas Noddings, sekolah yang merupakan tempat utama untuk menimba ilmu pengetahuan. Melalui ilmu pengetahuan, murid dapat membentuk tingkah laku melalui disiplin dan matlamat diri yang jelas.  Seterusnya, sikap kepedulian guru ini, akan membantu guru untuk menjalankan akauntabiliti terhadap murid dengan adil dan saksama.

            Sehubungan itu, guru berperanan sebagai agen perubahan. Peranan guru di sekolah ialah untuk membawa perubahan dalam masyarakat. Sebagai agen perubahan, guru perlu membawa ilmu pengetahuan dan menyampaikan kepada masyarakat. Melalui ini, sudah menjadi tanggungjawab para guru untuk memberikan pelbagai pengetahuan yang dapat digunakan oleh masyarakat dalam kehidupan seharian mereka. Oleh itu, guru perlu mempunyai kecemerlangan hidup untuk menjadi agen perubahan. Omar Mohd Hashim ( 1999 ), menjelaskan perasaan puas hati untuk kekal berada pada tahap yang rendah dan mediacore akan membawa natijah yang buruk. Maka, dalam dunia yang kuat bersaing, tidak ada cara dan matlamat lain, melainkan mengarah dan mengejar ke tahap kecemerlangan dalam semua bidang, kerja dan tugas. Peranan guru sangat besar sebagai agen perubahan sosial. Warga pendidik mempunyai tanggunghawab dan tugas besar untuk melayan jangkaan masyarakat dunia. Sebagai guru yang berada di alam pendidikan, perlu mempunyai sensitiviti terhadap perubahan baik mahupun buruk kerana dunia sudah menjadi kecil. Selain itu, Omar Mohd Hashim ( 1999 ) menjelaskan, persiapan rapi dan bersungguh-sungguh perlu untuk mencapai kecemerlangan. Melalui kecemerlangan diri, guru dapat membentuk insan sekeliling yakni murid-murid. Malah, perlu ada visi jauh dan guru perlu bersifat pragmatik, rajin berusaha, serba boleh, berilmu, rajin, berdisiplin dan teratur. Tambahan itu, guru perlu mempunyai hubungan meluas dan baik, mempunyai kemahiran komunikasi. Melalui usaha berterusan para pendidik bagi meningkatkan kecermelangan profesionalisme, sistem pendidikan akan dapat melahirkan warganegara yang berdisplin, tekun, berusaha dan mempunyai generasi seimbang. Malah, dengan ini rakyat Malaysia akan dapat menghadapi cabaran dalam kehidupan dengan menyusaikan diri dengan perubahan terutamanya cabaran globalisasi masa kini. Menyoroti usaha ini, tugas para guru sebaga agen perubahan dapat dilihat dalam pembentukan disiplin murid. Melalui sekolah dan bilik darjah guru dapat membawa perubahan besar kepada disiplin murid melalui dua aspek tersebut. Para guru perlu menunjukkan contoh teladan ( kepimpinan melalui teladan ), malah guru perlu memerhatikan tingkah laku pelajar seperti minat, sikap, pergerakan secara keseluruhan untuk membentuk disiplin yang baik dalam diri mereka. Aspek penilaian di sekolah seperti ujian, peperiksaan dan pencapaian murid dalam kelas menunjukkan keberkesanan pengajaran guru. Namun begitu, guru perlu sentiasa berfikiran positif dan mencari jalan untuk membantu pelajar lemah dengan tidak mengabaikan mereka. Malah, guru tidak perlu terlalu menekankan aspek exam-oriented dalam kelas. Apa yang penting, penyampaian dan arahan guru perlu jelas. Murid-murid perlu tahu bahawa guru telah melakukan perkara terbaik dalam mengajar mereka, maka murid-murid perlu membantu diri sendiri dengan belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan diri. Jelas, tugas guru sebagai agen perubahan menuntut budaya kerja yang kuat dalam kalangan guru untuk mencapai matlamat membentuk budaya kondusif dalam diri pelajar.

Di samping itu, tidak dapat dinafikan lagi bahawa, guru berperanan besar dalam membentuk dan mencorak tingkah laku murid. Malah kajian oleh Universiti Chicago ( Czikszentmihalyi, 1987 ) dalam Abdullah Sani Yahaya, mendapati bahawa purata masa yang dikongsi oleh remaja dengan ibu bapa yang bekerja hanya 12 jam seminggu. Ibu bapa kekurangan masa bagi mengasuh, mendidik dan membimbing anak mereka. Masa anak-anak banyak dihabiskan diluar rumah terutamanya sekolah. Prof Madya Dr Abd Rahim Abd Rashid ( 2001 ) menghuraikan peranan guru dalam mencorak perkembangan nilai dalam pembangunan sekolah cukup luas. Guru yang datang dari pelbagai latar belakang sentiasa mempengaruhi pemikiran pelajar dari masa ke masa. Malah, pengaruh ini dikatakan tiada sempadan. Tambah beliau lagi, guru-guru yang berpengaruh dan berkesan menjadi role-model kepada pelajar. Nilai-nilai tersebut disebarkan melalui aspirasi dan idealisme guru dalam pelbagai perkara. Sebagai agen sosial, sekolah menjadi tempat guru menyampaikan ilmu dan membentuk tingkah laku murid. Malah, sekolah berperanan sebagai penyampai kebudayaan dan melahirkan nilai-nilai budaya. Di sekolah, nilai merupakan unsur budaya yang penting dalam mencorakkan kebudayaan murid bagi perkembangan moral, akhlak, tingkah laku, hubungan sosial, tindakan dan peranan murid. Teori sosialisasi memberi penekanan kepada nilai-nilai sosial dan moral yang perlu dititikberatkan bagi membentuk individu yang dapat mempertahankan cara hidup berhemah, bersopan dan berakhlak mulia. Oleh itu, guru berperanan untuk menjadi agen sosial kepada murid dengan menerapkan nilai-nilai agama, baik dan bermoral dalam diri pelajar. Melalui pengajaran merentasi kurikulum, guru dapat menyampaikan nilai murni dan agama bagi menguatkan perkembangan akhlak dan moral individu bagi menghadapi cabaran masa kini.

Selain itu, dalam menjadi agen sosial pendidik perlu berfikiran positif sebagai mekanisme sosial bagi menanamkan nilai-nilai moral, akhlak, kerohanian dan tingkah laku yang baik serta mendidik golongan muda supaya mereka dapat mempertahankan nilai-nilai yang mendorong kemajuan dan kesejahteraan hidup. Satu istilah penting dalam tugas guru sebagai agen sosialisasi ialah sebagai salah satu pembentuk jati diri murid. Jati diri bermaksud membentuk dan membina diri setiap individu ke arah positif. Antara tujuan pembinaan jati diri ialah membentuk ketrampilan diri dari segi pemikiran, pergerakan, berpakaian, berbahasa, cara memberi maklum balas dan tindakan balas secara positif serta mempunyai sifat murni dalam pergaulan seharian ( Ahmad Marzuki Ismail, 2006 ). Dalam pada itu, jati diri membolehkan individu menerima dan menangani segala perubahan dan perkembangan semasa dengan sebaik mungkin. Di samping itu, antara peranan utama guru ialah mendidika murid supaya rajin membaca dalam kehidupan seharian mereka. Walaupun hal ini dilihat remeh, namun guru perlu menjadi agen sosial dalam memangkinkan budaya membaca dalam diri pelajar. Di sekolah, program seperti Nilam, sudut bacaan, kempen membaca merupakan tanggungjawab sosial guru secara tidak langsung dalam memupuk budaya membaca. Peranan membaca penting dalam pembentukan jati diri. Pembacaan dalam kalangan pelajar dilihat masih berada pada tahap rendah. Pembacaan dapat membantu generasi muda untuk berkembang dari aspek intelek, rohani dan emosi. Melalui pembacaan, individu akan mendapat mesej secara berkesan, dapat dihayati dan diamalkan. Pelajar perlu diberi pendedahan tentang kaedah membaca, masa dan tempat yang sesuai untuk membaca. Maka, dengan cara ini akan dapat memastikan bahan bacaan memberi sumbangan nilai dan moral kepada pembaca.

             

4.0 Penutup

Ulasan mengenai aspek penyumbang kebejatan gejala sosial dan hubungkait dengan isu keguruan telah disenaraikan satu persatu. Malah, gejala sosial yang berlaku juga telah diperjelaskan untuk mengatasi masalah ini. Masalah gejala sosial ini dilihat mempunyai perkaitan dengan isu keguruan masa kini.
           
Para pendidik perlu bersifat terbuka dalam mendidik anak-anak muda di sekolah. Mereka perlu diberi peluang dan ruang untuk mengekspresikan perkembangan diri. Misalnya, kegiatan-kegiatan yang dijalankan di sekolah perlu lebih dimanfaat dengan kualiti masa berbanding kuantiti masa yang ada. Setiap kegiatan yang dilakukan dalam sekolah perlu diterapkan dengan semangat bersungguh-sungguh dan akur kepada peraturan dan keputusan sekolah. Dengan ini, pelajar sekolah yang mematuhi peraturan dan menerima sesuatu dengan terbuka dapat dibentuk dari banguku sekolah dan dapat dibawa ke luar sekolah.
           
Selaras dengan kehendak Falsafah Pendidikan Negara yang mahu melahirkan generasi yang seimbang, para pelajar iaitu remaja seharusnya meningkatkan kemampuan diri dengan nilai-nilai murni. Kesemua nilai ini dapat diperoleh melalui pendidikan di sekolah. Ilmu pengetahuan dapat diperoleh dalam kelas sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran. Kemahiran dapat dikutip melalui pengalaman menjalankan aktiviti luar kelas seperti unit beruniform, kelab dan pertubuhan. Malah, bagi remaja yang berkemampuan kewujudan kelas muzik, kelas tarian, kelas fardhu ain dan bermacam lagi aktiviti di luar sekolah dapat diguna pakai untuk meningkatkan nilai tambah kepada diri.
           
Menurut Syed Ismail Bin Syed Mustafa dan Ahmad Subki Bin Miskon, kejayaan cemerlang dalam bidang akademik banyak bergantung kepada keupayaan murid dan guru menangani cabaran yang ada dalam sistem pendidikan negara seperti globalisasi dalam pendidikan, kemahiran menggunakan teknologi maklumat dengan sepatutnya, pendemokrasian pendidikan dan sikap keterbukaan kepada kepelbagaian budaya. Walaupun pada masa kini pembelajaran tidak perlu berorientasikan peperiksaan semata-mata, namun remaja perlu merebut peluang meningkatkan ilmu dalam diri. Bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu dan nilai-nilai murni perlu diterapkan sejak kecil dan diteruskan sehingga ke alam remaja. Melalui ini, pelajar yang mempunyai pedoman dan jati diri kukuh dapat mengatasi masalah dan dapat mengharungi cabaran gejala sosial dengan lebih bermanfaat kepada diri sendiri serta orang lain.

Sokongan kepada anak murid daripada guru amat bermakna berikutan guru merupakan pembentuk tingkah laku, pengurus pembelajaran, agen perubahan kepada mereka (Syed Ismail Bin Syed Mustafa&Ahmad Subki Bin Miskon, 2010 ). Murid-murid yang melakukan kesilapan seharusnya diberi peluang kerana kesilapan merupakan pengalaman dan pedoman untuk mengajar mereka agar tidak mengulangi perkara  yang sama.

Kesimpulanya, apa yang pasti globalisasi yang dihadapai remaja masa kini dapat di atasi melalui pedoman diri. Malah, jalan utama untuk menghadapi cabaran duniawi dalam diri remaja kini ialah berbalik kepada nilai-nilai murni. Malah, peranan guru dalam membentuk tingkah laku murid ke arah yang positif menuntut usaha berlipat ganda daripada warga pendidik sendiri.